Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan memberi pemotongan cukai pendapatan dua peratus kepada kelompok M40 dan mereka yang termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000 jika diberi mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu bagi membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.

Dalam penyelesaian kos sara hidup, beliau berkata, revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau ‘Assistive Basic Income’.

“Menerusi skim itu, kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.

“Ia adalah satu ‘top up’ atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik untuk menangani kos sara hidup yang sangat membebankan serta memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan, atau insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan manifesto BN yang dikenali Perancangan Amal dan Usaha (PADU) secara maya, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, BN juga berjanji untuk menghapuskan isu layanan berbeza kerana berlainan jantina di tempat kerja.

“Kita mahu isu gangguan seksual, ketidaksaksamaan gaji, imbuhan dan layanan kerana perbezaan gender dihapuskan sama sekali dengan meneliti kesesuaian penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan menubuhkan Tribunal AntiGangguan Seksual,” katanya. – MalaysiaGazette