Calon Perkatan Harapan P.111 Kota Raja, Mohamad Sabu menyantuni penduduk setempat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Teluk Menegun, Klang. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

KLANG – Presiden Amanah, Mohamad Sabu yakin Pakatan Harapan menang besar di Sungai Besar dan kawasan-kawasan yang ditandingi lawannya iaitu Barisan Nasional di mana calon-calon BN masih mempunyai kes mahkamah.

Beliau yang bertanding di Bukit Raja bawah menerusi gabungan PH berkata, biar pun hak mana-mana parti meletakkan calon termasuk yang belum dijatuhi hukuman, namun tindakan itu membuka peluang besar kepada PH untuk menang.

“Oleh kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum dihukum, katanya kita pun tak tahu sekitar Februari nanti (keputusan mahkamah), jadi tunggu keputusan.

“Sungai Besar (BN) itu semua (kluster mahkamah), itu hak parti mereka kemukakan calon seperti itu.

“Bagi kami itu lebih baik kepada PH untuk memenangi di Sungai Besar, itu harapan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersarapan bersama pengundi Parlimen Kota Raja di Kampung Teluk Menegon, di sini, pagi tadi.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony kerana pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Keputusan itu menyebabkan penyokongnya merusuh di luar pusat pencalonan Parlimen Tenom, Sabah hingga memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata.

Mei lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, selepas didapati bersalah memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah untuk kontrak penyelenggaraan sistem.

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu juga didenda RM50,000.

Menurut laman sesawang SPR, individu yang disabitkan bersalah, dipenjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan, tidak layak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Mengulas lanjut, sekiranya Ahmad Zahid menang di kerusi P075 Bagan Datuk pada 19 November sekalipun tidak bermakna jika keputusan mahkamah pada Februari depan tidak memihak kepadanya.

“Bila (mahkamah) buat keputusan nanti itu, kalau didapati bersalah, kena hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di tempat itu setelah habis rayuannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast