KLANG – Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang berjumlah RM50 bilion sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani banjir Lembah Klang menjadi manifesto utama Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Kota Raja dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon PH-Amanah Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu berkata, penyelesaian bencana banjir tidak boleh dilakukan secara setempat sahaja dan ia perlu dilakukan secara menyeluruh bermula dari Banjaran Titiwangsa hingga ke laut.
Jelasnya, peruntukan sehingga RM50 bilion boleh dibelanjakan kerajaan dalam memastikan bencana alam akibat perubahan iklim itu dapat ditangani lebih berkesan dan untuk jangka masa panjang.
“Ya ini manifesto saya sendiri, saya mula bercakap hal ini sebab saya tengok sekarang ini dia tak boleh selesai dari satu tempat ke satu tempat, dia kena menyeluruh.
“Saya tanya dalam Parlimen, mereka perlu RM50 bilion, saya akan terus memperjuangkan supaya ianya dibelanjakan untuk kepentingan lebih 7 juta penduduk di sini.
“Perbelanjaan itu perlu daripada kita buang kepada 1MDB yang kita tak tahu apa projeknya yang kita kena bayar hutang,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyantuni dan bersarapan bersama pengundi di Kampung Telok Menegun, di sini, pagi tadi.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) projek tebatan banjir yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika ini hanya bersifat sementara dan bukan penyelesaian tuntas kepada bencana alam ini khususnya banjir kilat.
“Kenapa tak tumpu infrastruktur jangka panjang, sekarang ini kita nampak mengatasi banjir, kalau berlaku di Kota Raja, cuma dikorek sungai, longkang di Kota Raja atau Shah Alam, boleh begitu (tapi) sementara.
“Dia tak boleh atasi banjir seperti di Taman Seri Muda, kemudian tempat-tempat lain yang selalu berlaku banjir dia kena menyeluruh dari kaki gunung Titiwangsa sampai ke laut.
“Kerajaan mana yang berkuasa selepas ini saya yakin kena buat hal ini sebab ia boleh mengelakkan banjir kilat yang terlalu kerap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette