BENTONG – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bentong mendakwa ada mangsa banjir dibkawasan ini tidak menerima bantuan baik pulih rumah walaupun sudah lama menunggu.
Young Syefura Othman berkata, biar pun bantuan ini telah dijanjikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ada penduduk yang telah menunggu lebih 10 bulan tanpa sebarang khabar berita mengenai perkembangan bantuan ini.
Selain itu, katanya, ada juga yang merungut bantuan yang diberikan tidak mencukupi berbanding kerosakan telah mereka alami.
“Perkongsian mereka membayangkan sedikit sebanyak lagak Barisan Nasional (BN) jika mereka kembali ke tampuk kuasa.
“Berbeza dengan BN yang jelas memandang remeh keperitan penduduk, kerajaan HARAPAN mengutamakan kesejahteraan rakyat dan akan menumpukan segala kudrat ke arah langkah pemulihan bencana, terutamanya bagi golongan terkesan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Young Syefura atau dikenali Rara, calon-calon HARAPAN di Bentong termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, DUN Ketari, DUN Sabai dan DUN Pelangai telah mengorak langkah menyantuni pengundi bagi mendalami isi hati mereka. Kami akan terus memanjangkan usaha ini, bergerak bersama-sama untuk memahami impian dan harapan mereka buat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pahang yang bakal dibentuk selepas PRU15,” katanya. – MalaysiaGazette