PARIT BUNTAR – Demi memastikan kemenangan milik Barisan Nasional (BN) calon parti itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau Mohd. Jamil Jahaya meredah kubu lawan bagi memujuk pengundi untuk memilih BN.
Mohd. Jamil yang merupakan bekas guru di beberapa sekolah berkata, tidak ada apa yang boleh menghalang usahanya untuk memastikan BN bukan sahaja menang di DUN Kuala Kurau tetapi juga Parlimen Parit Buntar.
Kelebihannya sebagai guru dengan jawatan terakhir menjadi guru besar di Sekolah Kuala Kuala Kurau, Mohd. Jamil yakin masyarakat akan memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kalau tanya keyakinan, saya cukup yakin BN akan kembali mentadbir khasnya di Kuala Kurau. Sebab apa saya kata begitu sebab saya faham, kempen saya banyak bergerak dari rumah ke rumah.
“Sebagai contoh kita pergi ke kawasan parti lawan. Saya sempat pergi ke Parit Haji Ali yang boleh dikatakan kawasan hitam untuk BN kerana ramai pengundi Pas.
“Saya telah masuk ke kubu Pas di Teluk Piai, Parit Haji Deraman. Saya pergi ke kawasan Parit Abu Samah, kebetulan sekolah saya di tepi kubu kuat Pas. Ini kelebihan saya.
“Setakat ini saya berusaha keras. Kita serah kepada Allah dan terima segala keputusan. Saya berharap beroleh kejayaan,” katanya yang ditemui ketika berkempen di Kampung Kolam.
Menurut Mohd. Jamil, kemiskinan keluarga dengan ayahnya seorang petani pada satu suatu ketika dulu membuatkan beliau amat memahami masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan itu.
Rata-rata penduduk yang bekerja sebagai petani dan nelayan masih lagi hidup di bawah garis kemiskinan.
“Dari segi pertanian penggunaan teknologi di kawasan di sini belum sampai ke tahap tempat lain seperti di Tanjung Karang. Sistem perparitan belum sempurna. Sepatutnya isu ini diperjuangkan oleh wakil rakyat sebelum ini.
“Dari segi nelayan kita tengok masalah pukat tunda. Inilah yang menghantui nelayan. Pukat tunda sepatutnya berada di luar kawasan. Bila tidak ambil perhatian ini mengganggu pendapatan nelayan-nelayan kita,” katanya.
DUN Kuala Kurau sebelum ini dimenangi oleh calon Pakatan Harapan Yunus Jamhari yang mendapat 8,655 undi dengnan 2,643 majoriti.
Pada pilihan raya kali ini Yunus mempertahankan kerusi itu di bawah Perikatan Nasional.
Selain Yunus dan Mohd. Jamil kerusi itu turut ditandingi oleh calon Pakatan Harapan Anuar Ahmad.
DUN Kuala Kurau mempunyai 32,602 pengundi berdaftar.-MalaysiaGazette