Keretakan pada Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang, Serendah jelas kelihatan.

KUALA LUMPUR – Haniza Talha mempersoalkan mengapa masalah retakan pada struktur bangunan Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang, Serendah masih belum ditangani sedang perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa beberapa tahun lalu.

Malah, dakwanya, masalah yang menghantui penduduk sudah pun dibawa kepada penyandang ahli Parlimen kawasan tersebut.

Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi Parlimen Hulu Selangor itu berkata, sebuah badan bukan kerajana (NGO) tempatan dan penduduk telah menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan sejak beberapa bulan ini, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Keretakan yang berlaku di Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang, Serendah sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa beberapa tahun lalu.

”Saya juga difahamkan bahawa berdasarkan hasil siasatan awal Jabatan Mineral dan Geosains, beberapa cadangan telah dikemukakan. Ini termasuk siasatan lanjut subpermukaan dan kestabilan kawasan sekitar; membaiki dengan kadar segera longkang-longkang yang telah rosak; mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan; serta mitigasi di kawasan cerun untuk mengelak air daripada terus keluar mengalir dari cerun.

”Malangnya masalah ini masih berlarutan walaupun penduduk telah membuat aduan sejak tahun lalu. Penduduk di sana tidak patut hidup dalam ketakutan yang rumah mereka akan runtuh pada bila-bila masa, atau mengalami lebih banyak keretakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kesan retakan berlaku pada struktur bangunan Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang, Serendah.

Haniza yang pernah menjadi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Selangor pada tahun 2018 dan 2020 berjanji akan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah ini.

“Dalam pada itu, saya akan terus berhubung dengan penduduk di sana untuk mendapatkan maklumbalas mereka. Saya juga akan menghubungi pihak berkepentingan yang lain seperti agensi yang berkaitan untuk segera mencari penyelesaian kepada masalah ini

”Saya tidak pasti apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen sebelum ini untuk menyelesaikan masalah ini, walaupun saya difahamkan bahawa ia telah dibawa ke perhatian YB tersebut sejak sekian lama.

”Sebagai seorang penggubal undang-undang, kita tidak seharusnya mengambil mudah tentang kebajikan dan keselamatan pengundi kita,” ujar beliau. – MalaysiaGazette