Timbalan Pengetua 1, KKKP, Dr. Mohd Faisal Hushim mewakili UTHM menerima sijil pengiktirafan dan penghargaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan.

PAGOH –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengiktiraf Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai penganjur kempen derma darah paling komited dan responsif bagi negeri Johor.

KKKP telah dicalonkan untuk kategori tersebut bagi negeri Johor ke peringkat kebangsaan dan telah dipersetujui oleh semua Pusat Kutipan Darah di negeri Johor antaranya Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF Muar), Hospital Sultanah Aminah (Johor Bahru) dan Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru).

Turut mempersetujui ialah Hospital Sultanah Nora Ismail (Batu Pahat), Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (Kluang), Hospital Segamat dan Pusat Darah Negara (Kuala Lumpur).

Pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Dr. Rosaina Senan, Pakar Perubatan Transfusi merangkap Ketua Unit Perubatan Transfusi, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kepada Dr. Mohd Faisal Hushim, Timbalan Pengetua 1, KKKP UTHM.

Menurut Dr. Mohd Faisal Hushim yang juga penasihat program kempen derma darah di kolej kediaman tersebut, program itu terbuka kepada semua pelajar dan penghuni di sekitar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

“Berpegang kepada prinsip UTHM Prihatin, dan dengan kerjasama erat bersama Unit Perubatan Transfusi HPSF, pihak kolej kediaman akan sentiasa komited di dalam mempromosikan dan menggalakkan masyarakat sekitar untuk menderma darah.

“Dengan pengiktirafan daripada pihak KKM ini telah meningkatkan lagi semangat pihak kami untuk terus menjadi tunjang utama sebagai penganjur program derma darah dalam memastikan stok bekalan darah negara sentiasa di paras optimum,” katanya.

Untuk rekod, bagi tahun 2022 sahaja, pihak KKKP UTHM telah melaksanakan 10 kali program derma darah dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak hospital setiap kali ianya dilaksanakan.

Pihak kolej juga turut diberi pengiktirafan oleh pihak HPSF selaku penganjur kempen derma darah dengan kutipan tertinggi pada Majlis Apresiasi Kepada Penderma Darah dan Penganjur Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF) pada Ogos  lalu. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast