Mahmud Jumaat

SHAH ALAM – Masyarakat perlu menghentikan sebarang perkongsian tanpa sebarang maklumat yang tepat berhubung isu dakwaan suami dayus membenarkan doktor lelaki menguruskan proses isteri bersalin.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, dengan menularkan isu itu untuk perdebatan netizen di media sosial boleh memberikan imej buruk kepada Islam.

Katanya, seseorang itu perlu mengambil kira semua keadaan termasuk persoalan hukum sebelum memberikan ulasan terutama membabitkan hal berkaitan agama.

“Banyak elemen perlu diambil kira termasuk melihat dari sudut darurat. Kita tidak bercerita mengenai perubatan swasta kerana ia adalah pilihan.

“Tetapi, bagi sektor awam, apa yang disediakan di hospital kerajaan termasuk doktor itu sudah mengambil kira amalan perubatan yang terbaik merangkumi semua sudut.

“Sudah tentu bagi yang mampu, mereka akan mendapatkan khidmat pakar atau doktor di pusat bersalin swasta yang melibatkan kos ribuan ringgit,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau mengulas satu video yang tular mengenai kelantangan pasangan pencemarah bebas yang menganggap hanya suami dayus membiarkan isteri mereka bersalin dengan bantuan doktor lelaki.

Menurut Mahmud, perkara itu sepatutnya tidak timbul kerana banyak penjelasan sudah diberikan termasuk daripada ilmuan agama mengenai kedudukan masalah berkenaan mengikut hukum.

Katanya, apa yang beliau ingin disentuh, perkongsian di media sosial itu seolah menggambarkan ia isu baharu, sedangkan sebelum ini sudah dibahas secara ilmiah bagi menentukan hukumnya.

“Dalam keadaan darurat, seperti yang sudah dibincangkan, ulama menetapkan ia adalah harus demi menyelamatkan nyawa isteri dan anak.

“Ia juga terkandung dalam Maqasid Syariah dan tidak boleh dibuat secara berlebih-lebihan dan sebelum ini kita berdepan isu sama iaitu doula, ramai yang memberi pendapat, pandangan dan komen tanpa mengambil kira sudut hukum yang sebenar.

“Akhirnya selepas melalui sesi perbahasan, perbincangan secara ilmiah, baru kita tahu kedudukannya dan betapa sangat berisiko kepada bayi dan ibu,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua pihak tidak melatah dengan isu itu, sebaliknya merujuk kepada pihak berwajib sekiranya mendapati wujud keraguan terutama membabitkan hukum. – MalaysiaGazette