TAMPIN – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, selain lima kerusi yang dimenangi PH pada PRU-14, tiga lagi kerusi yang disasarkan adalah Jempol, Jelebu dan Rembau.
“Lapan kerusi sasaran kita dalam Negeri Sembilan.
“Itu adalah satu matlamat yang kita boleh capai sekiranya semua pihak bekerjasama, bertungkus-lumus dan kita akan pecut sampai ke garisan terakhir,” katanya.
Beliau yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Seremban berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah di sini, malam tadi.
Pada PRU-14, PH menang di kerusi Parlimen Seremban, Rasah, Kuala Pilah, Port Dickson dan Tampin.
Walau bagaimanapun, gabungan pembangkang itu kehilangan kerusi Parlimen Kuala Pilah setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari PH dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap pada program sama berkata, pengundi di negeri ini perlu keluar mengundi untuk mengubah kerajaan Persekutuan.
Beliau yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Port Dickson turut meminta jentera parti untuk memujuk rakyat khususnya golongan muda agar bersama dengan PH kali ini.
“Kita wajib hadir ke tempat mengundi. Kita tidak boleh elakkan, inilah peluang terbaik kita untuk kita ubah kerajaan yang ada pada hari ini.
“Kita kekal kerajaan negeri, kerajaan negeri parti kita,” katanya. – MalaysiaGazette