REMBAU – PKR Cabang Rembau mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah berbelanja melebihi had yang ditetapkan undang-undang untuk bahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kerusi Parlimen Rembau.
Ketuanya, Mohamad Hafiz Mohamad berkata, pihaknya mengesyaki kedua-dua parti tersebut mengeluarkan kos melebihi RM200,000 untuk bahan kempen seperti papan iklan dan bendera setakat ini.
Menurut beliau, jumlah itu melebihi had perbelanjaan yang dibenarkan di bawah Seksyen 19(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kami mendapati bahawa kedua-dua parti telah memasang terlalu banyak papan iklan dan bendera parti di seluruh kawasan Parlimen Rembau.
“Jumlah bahan kempen yang dipasang tersebut adalah sangat melampau terutamanya di kawasan sekitar DUN Paroi,” katanya dalam sidang media di Pejabat PKR Cabang Rembau di sini, hari ini.
Yang turut hadir, calon PH bagi kerusi Parlimen Rembau, Jufitri Joha.
Mohamad Hafiz menambah, anggaran perbelanjaan itu dikira berdasarkan kos yang lazim dikenakan untuk membuat dan memasang bahan-bahan kempen pilihan raya.
Beliau memberitahu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Chembong berhubung isu berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Hafiz mempersoalkan tentang gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipaparkan pada bahan-bahan kempen BN.
Beliau berkata, berdasarkan syarat tambahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya gambar Presiden dan Timbalan Presiden sesebuah parti dan gambar calon sahaja yang dibenarkan untuk dicetak pada bahan kempen.
Mohamad Hafiz berkata, Ismail Sabri bukan Presiden atau Timbalan Presiden mana-mana parti politik dan beliau tidak bertanding di kerusi Parlimen Rembau.
“Kami akan meminta penjelasan daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau berkenaan pemakaian panduan yang pernah dikeluarkan SPR pada PRU-14 dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, pihaknya menunggu siasatan polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Jufitri menyerahkan perkara itu kepada PKR Cabang Rembau kerana beliau akan memberi lebih tumpuan kepada urusan kempen yang setakat ini menerima sambutan sangat baik daripada pengundi.
“Kita akan gandakan lagi bertemu dengan pengundi seramai mungkin dan secepat mungkin di setiap kawasan yang kita fokus untuk menang,” jelasnya.
Seperti calon-calon lain, beliau memberi perhatian yang lebih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi yang mempunyai lebih 50,000 pengundi. – MalaysiaGazette