Calon Pakatan Harapan (PH) P.150 Batu Pahat, Onn Abu Bakar pada Program Jelajah Rafizi Ramli sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Senggarang Kek Cafe, Batu Pahat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2022.

BATU PAHAT – Masuk hari kelima berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), nampaknya sudah mula ada pihak yang cuba “main kasar” di kerusi Parlimen di sini.

Calon Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar mendakwa, ada pihak telah melakukan khianat terhadap bahan kempennya apabila terdapat billboard yang dipasang ditumbangkan.

Katanya, beliau ada menerima beberapa keping gambar mengenai kejadian itu daripada jentera kempennya kelmarin.

“Saya nak minta rakan-rakan yang berada di kawasan-kawasan yang terlibat ni buat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat memantau di hotspot-hotspot,” katanya kepada MalaysiaGazette tanpa dapat memastikan lokasi kejadian itu berlaku.

Onn percaya ia dilakukan oleh parti lawan.

Ditanya sama ada pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, Onn memberitahu, langkah berkenaan sudah dibuat semalam.

Ini merupakan kejadian pertama dilaporkan berlaku di Johor sepanjang kempen PRU15 yang bermula selepas penamaan calon pada Sabtu lepas.

Onn merupakan pencabar kepada penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang bertanding semula pada PRU kali ini.

Selain Onn, Mohd Rashid yang menang di kerusi Parlimen berkenaan pada PRU14 atas tiket PKR turut dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Ishak Siraj; Zahari Osman dari Parti Rakyat Malaysia dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dari parti Pejuang.

Kawasan Parlimen Batu Pahat memiliki seramai 133,910 pengundi yang direkodkan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast