MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) Kota Melaka, Kon Qi Yao terpaksa mengehadkan waktu tidurnya sepanjang kempen bagi membolehkannya mencapai sasaran bertemu 10,000 pengundi sehari.

Naib Ketua Pemuda MCA Bahagian Kota Melaka itu berkata, itu adalah cabaran berat perlu dihadapi di Parlimen yang mempunyai pengundi teramai, iaitu 164,140 orang berbanding lima kerusi Parlimen lain di Melaka

“Sejak hari pertama kempen, saya akan keluar rumah seawal jam 7 pagi dan menggunakan waktu terhad itu berjumpa seramai mungkin pengundi sehingga jam 12 tengah malam.

“Lepas itu, saya mesyuarat bersama jentera untuk menilai apakah kekurangan yang boleh diperbaiki dan menyusun jadual kempen pada hari berikutnya.

“Walaupun penat kerana hanya dapat tidur tiga atau empat jam sehari, saya terpaksa berkorban untuk mencapai sasaran bertemu 10,000 pengundi sehari sehingga tamat kempen jam 12 tengah malam 18 November ini,” katanya ketika ditemui media ketika berkempen di Bukit Cina di sini hari ini.

Kon ketika berkempen di Bukit Cina, Melaka hari ini.

Mengulas mengenai keyakinannya untuk menang di kubu kuat DAP itu yang hanya pernah dimenangi MCA pada 2004 sejak 1974, Kon berkata, beliau yakin rakyat khususnya pengundi muda hari ini semakin bijak menilai pemimpin.

“Kita dapat lihat bagaimana teruknya ekonomi negara terjejas selepas pandemik Covid-19 dan sebagai pemimpin, kita harus mempunyai perancangan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk terutamanya di kawasan bandar.

“Saya lihat, hari ini ramai anak muda malah rakan-rakan terdekat saya juga terpaksa buat dua kerja untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Pada PRU15, Kon bakal berdepan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya Khoo Poay Tiong mewakili Pakatan Harapan atas tiket DAP yang menang dengan majoriti 49,175 pada PRU14, Suhaime Borhan dari Gerakan atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Datuk Dr Norazlanshah Hazali.

Parlimen Kota Melaka merupakan kubu kuat DAP sejak ia mula dipertandingkan pada PRU4 tahun 1974 yang menyaksikan ia dikuasai DAP sehingga PRU10 pada 1999.

MCA yang mewakili BN hanya berjaya merampas kerusi berkenaan PRU11 pada 2004 melalui calonnya, Datuk Wong Nai Chee, bagaimanapun DAP kembali merampas kerusi tradisinya itu pada PRU12 sehingga PRU14. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast