Calon BN Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (tengah) bersama calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed (kanan) dan calon DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

PARIT – “Kami bergerak sederap”.

Itu kata penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Maksud bergerak sederap itu adalah kempen secara bersama dengan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah dikenali sebagai Cikgu Din.

“Soal ini penting bagi menunjukkan kerjasama satu pasukan dan keakraban kami bertiga adalah menyakinkan pengundi di Bota, Belanja dan seluruh Parit.

“Ia tidak jadi penghalang kerana saya akan berkempen secara berjemaah dengan kedua-dua mereka (calon DUN Bota dan DUN Belanja) seberapa banyak yang boleh.

Calon BN Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (kiri) bersama calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

“Apabila ada suasana harmoni antara calon, maka saya di peringkat Parlimen dan Shahril (Bota) serta Cikgu Din (Belanja) kena berjalan seiring.

“Barulah pembangkang rasa gerun apatah lagi cerita deme (pembangkang) yang suka berputar-belit di Parit ini,” kata Mohd Nizar lagi.

Gerak kerja terus disusun menerusi aktiviti yang telah diaturkan.

Hari ini Mohd Nizar sempat singgah di majlis ramah mesra dan sembang santai Di Lambor Kiri di samping majlis santai bersama calon DUN Bota dan masyarakat Di Titi Gantung, Bota.

DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah (kiri) atau dikenali sebagai Cikgu Din.

Seterusnya, calon Parlimen Parit itu meninjau dan beramah mesra bersama masyarakat di gerai Pokok Nangka Titi Gantung, Bilik Gerakan Kampung Sungai Korok dan ceramah Penerangan PRU15 Di Bilik Gerakan Kampung Nyior Tanjung Belanja.

Mohd Nizar berkata, peranan BN adalah penting untuk menjadi parti yang dominan dalam kerajaan.

“Ini bagi memastikan kerajaan baharu yang akan datang ini berfungsi dengan cemerlang.

“Peranan BN sangat penting dalam menjamin kestabilan politik dan kerajaan demi kemakmuran rakyat dan ekonomi, katanya.

Malah menurut Mohd Nizar, kemenangan mutlak 3-0 yang diyakini pengundi di sini sangat dituntut sebagai sumbangan besar membentuk kerajaan negeri baharu dan kerajaan Persekutuan selepas 19 November depan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast