PUCHONG – Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) memperalatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengelirukan pengundi-pengundi Melayu di Taman Puchong Permai, di sini.

Calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, memandangkan kawasan itu merupakan majoriti pengundi BN, isu perobohan gerai di bulatan Puchong Permai diaktifkan semula.

Menurut Syed Ibrahim, peniaga diberikan notis perobohan itu, dua hari selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mereka diminta mengosongkan gerai makan masing-masing dalam tempoh tujuh hari.

“PBT di sini tahu ini kawasan Melayu, yang mana mereka bukan sokong mereka ini (PH).

“Sebelum ini, tiada masalah pun, dia (PH) tahu kekuatan orang di sini masyarakat Melayu memilih BN, jadi dia nak kacau.

“Kenapa nak tunggu sampai 7 November 2022 surat ini dikeluarkan (notis perobohan),” dakwanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Sebelum ini, 43 peniaga Puchong Permai telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari memohon campur tangan agar tindakan PBT terbabit ditangguhkan.

Berikutan itu, Menteri Besar telah mengeluarkan surat balas dan mengarahkan Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail untuk mengambil tindakan termasuk berbincang dengan PBT terbabit.

Bagaimanapun notis perobohan itu tetap dikeluarkan yang didakwa tanpa melibatkan proses perbincangan dengan 43 peniaga Puchong Permai.

“Menteri Besar ada bagi satu surat sokongan kepada YB Rodziah untuk memanjangkan perkara ini kepada PBT berkenaan.

“Lepas itu mereka (PBT) terima (surat Menteri Besar) tapi diam saja.

“Walaupun surat itu daripada Menteri Besar, namun ia tidak diguna pakai, diabaikan, tapi peniaga teruskan berniaga,” katanya.

Syed Ibrahim yang juga Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) melahirkan rasa kesal dengan tindakan itu ketika semua pihak memberi fokus kepada kempen PRU15.

“Musim apa ini? Ini musim pilihan raya, semua orang sibuk tapi dia nak kacau dan ini akan mengakibatkan orang di sini benci kepada BN yang mana kita tak tolong mereka

“Ini satu cara dia (PH) nak elakkan dan menghukum penduduk di sini.

“Saya fikir mereka sengaja ambil tindakan waktu ini untuk mengelirukan pengundi-pengundi,” dakwanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang tindakan perobohan itu.

“Saya membantah sekerasnya dan mahu menghalang mereka ambil tindakan ini.

“Saya nak mereka berhenti ambil tindakan ini (roboh dan kosong permis) dengan serta-merta.

“Saya akan buat laporan polis, SPR dan SPRM kerana tindakan ini mengelirukan pengundi, mereka ini tiada sebarang tujuan (selain sabotaj),” katanya.

Meskipun belum bergelar wakil rakyat di situ, beliau komited untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga-peniaga yang merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita akan panjangkan surat kepada Pejabat Tanah Petaling Jaya untuk berhentikan (roboh) jangan ambil tindakan terhadap mereka sehingga kita duduk dan berbincang.

“Kita adalah manusia, yang ada di sini ialah golongan B40 dan M40, ramai juga dalam kalangan mereka ini bapa tunggal dan ibu tunggal.

“Bukan mereka buat apa pun, berniaga untuk sara hidup mereka, ini pun nak kacau,” katanya. – MalaysiaGazette