JERANTUT – Jika calon Perikatan Nasional (PN) dipilih, pengundi akan mendapat wakil rakyat yang berintegriti.
Calon PN Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berkata, calon gabungan parti itu tidak ‘membalak’ sesuka hati untuk kepentingan peribadi.
“Sekiranya kita (PN) diberi kepercayaan di Pahang khususnya di Jerantut, kita akan berikan pemimpin-pemimpin berintegriti, pemimpin tak membalak sesuka hati pemimpin tak bom ikan.
“Insya-Allah kita takkan buat,” katanya yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat semasa ceramah sempena pelancaran Manifesto PN Pahang oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian kerana sebelum ini timbul isu pimpinan sebuah parti politik tempatan dikatakan terlibat dalam kes mengebom ikan di sungai Jerantut.
Khairil Nizam juga berhasrat mahu menjadikan Jerantut sebagai destinasi pelancongan, meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk dengan pertanian cara moden.
Salah satu ideanya juga memperkenalkan pakej pelancongan Islam memandangkan Jerantut mempunyai banyak maahad tahfiz.
“Jadikan Jerantut sebagai destinasi huffaz negara kerana 121 maahad tahfiz dan gabung dalam satu konsortium.
“Pelancong datang boleh dengar kuliah, laksana pakej pelancongan Islam akademik,” ujarnya selain mahu menangani masalah banjir yang sering berlaku. – MalaysiaGazette