Calon Barisan Nasional (BN) P.123 Cheras, Mike Chong Yew Chuan menyantuni penduduk sambil menyerahkan risalah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jalan Cerdas, Taman Connaught, Cheras, Kauala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bayangkan, Cheras yang menjadi pusat di ibu kota namun masih ada pihak yang terlepas pandang dengan beberapa pangsapuri usang hampir separuh abad dibiar tanpa ciri keselamatan terkini.

Perkara itu menjadi kekesalan calon Barisan Nasional Parlimen Cheras, Mike Chong Yew Chuan yang berharap nasib penghuni Flat Taman Segar di sini terbela jika diberi mandat pada tanggal 19 November ini.

“Banyak flat di Cheras ini mempunyai sejarah lebih daripada 50 tahun, dari segi saiznya sangat kecil malah tak sesuai untuk tinggal lagi dengan tiada lif walaupun hanya lima tingkat,” ujarnya dalam nada pilu mengenangkan tiada perubahan dibawa penyandang terdahulu.

Berbekalkan pengalaman di Petronas Carigali sebagai seorang jurutera, Mike Chong terlebih dahulu merangka strategi untuk bekerjasama dengan syarikat hartanah bagi memastikan pembangunan semula di kawasan flat berkenaan.

“Hasrat saya adalah untuk adakan transformasi dengan pindahkan penghuni di flat ini ke tempat berhampiran bagi projek baru dengan tawaran yang amat murah. Kita dapat berikan tempat tinggal yang lebih selesa dengan tidak bebankan kedua-dua pihak,” kata calon berusia 39 tahun itu.

Mike Chong Yew Chuan. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2022.

Memegang jawatan Setiausaha MCA Wilayah Persekutuan sejak 2014 itu menjadikan Mike Chong tidak asing lagi dengan masalah yang dihadapi penduduk Cheras apabila isu kekurangan tempat letak kereta turut mendapat perhatiannya.

Lulusan kejuteraan awam dari Universiti Teknologi Petronas itu meletakkan harapan tinggi agar hasratnya merealisasikan bus on demand iaitu perkhidmatan e-hailing menggunakan bas elektrik tercapai.

“Saya rancang bawa masuk bus on demand iaitu e-hailing guna bas elektrik yang akan beroperasi sekitar Cheras. Apabila ada permintaan dari penduduk setempat dengan tempah melalui aplikasi di telefon mereka, maka bas itu akan sampai ke depan rumah,” katanya yang juga Ketua Penerangan MCA Pusat.

Menurutnya, rancangan awal itu dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus menyelesaikan isu tempat letak kereta yang menyebabkan banyak kenderaan parkir secara berlapis sehingga mengundang kesesakan trafik.

Kesesakan ruang tempat letak kereta di sekitar Pasar Taman Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 NOVEMBER 2022.

Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang sebagai manifesto, Mike Chong kekal dengan prinsip senduk besar tak mengenyang iaitu tiada guna menabur harapan palsu jika gagal membuahkan hasil.

Rentetan itu, beliau yang menetap di Taman Maluri, Cheras selama beberapa tahun sebelum ini mengharapkan pengundi P123 dapat memberi peluang yang serupa seperti penyandang, Tan Kok Wai peroleh selama enam penggal di kawasan tersebut.

“Kalau kita boleh beri peluang kepada Tan Kok Wai selama enam penggal di Cheras, malah sebenarnya lapan penggal termasuk 10 tahun di Parlimen Sungai Besi ketika beliau berkecimpung dalam politik, jadi kenapa tak boleh beri peluang kepada seorang pemuda seperti saya membuat perubahan di Cheras,” ulasnya.

Cheras yang menjadi kubu kuat Parti Tindakan Demokratik (DAP) bakal menyaksikan sama ada keputusan memihak kepada Mike Chong yang tekad membawa perubahan atau seterunya Tan Kok Wai dan Chin Yoke Kheng (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast