Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor secara amnya memutuskan untuk memberikan cuti umum satu hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, cuti itu pada dasarnya ditetapkan 18 November ini bagi membolehkan warganegara Malaysia yang bekerja dan bermastautin di negeri ini pulang mengundi di kampung masing-masing di luar Selangor.

Katanya, cuti itu akan diputuskan secara rasmi ini selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN) pada Rabu depan.

“Berikutan pendaftaran secara automatik serta penurunan had umur pengundi, negeri Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai di seluruh negara iaitu 3,677,848 orang.

“Terdapat juga jumlah besar warganegara Malaysia yang bekerja dan bermastautin di negeri ini, tetapi mengundi di kampung halaman mereka bertempat di negeri lain.

“Oleh itu, kita memutuskan secara amnya untuk memberikan cuti umum sehari pada Jumaat 18 November ini. Perkara ini akan diluluskan minggu hadapan,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, petang ini.

Beliau juga berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat memberikan pelepasan sama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ini katanya, supaya seramai mungkin rakyat Malaysia yang berada di luar kawasan tempat mengundi dapat menunaikan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara pada 19 November ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, bagi meneruskan tekad kerajaan negeri untuk memastikan kesihatan rakyat dipelihara, Jawatankuasa Kesihatan Awam serta Selangor Public Health Advisory Coucil (SLEPHAC) akan memulakan suntikan Pneumococcal.

Kata beliau, peringkat permulaan sebanyak 10,000 dos vaksin dengan peruntukan RM1.5 juta diberikan secara percuma kepada golongan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Program ini akan bermula Isnin ini dan akan berterusan sehingga 31 Disember ini dengan menumpukan kepada rumah jagaan orang tua, warga emas serta pemegang kad Iltizam Selangor Sihat (ISS) bagi fasa pertama program.

“Program ini juga akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu Selvax Mobile Team dan klinik-klinik Selcare.

“Kerajaan negeri membuat keputusan ini selepas mengambil kira statistik penyakit jangkitan pernafasan yang meningkat dan mendatangkan risiko kepada penduduk di Selangor terutama warga emas,” katanya. – MalaysiaGazette