Anggota bomba sedang memeriksa lokasi runtuhan di bangunan Wisma Yatim Perempuan (Islam) Pulau Pinang di Jalan Scotland di sini, malam tadi.

GEORGE TOWN – Tiga penghuni Wisma Yatim Perempuan (Islam) Pulau Pinang di Jalan Scotland di sini, yang cedera dalam kejadian runtuhan bumbung asrama malam tadi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mangsa, Nur Jannah Motaleb, 8; Nur Batrisya Mohd Raffei, 10; dan Siti Syahirah Zulkipli, 13 tahun yang mengalami kecederaan pada belakang badan dan kepala itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.45 malam berhubung bumbung asrama yang juga tempat tidur penghuni wanita di sini runtuh.

Katanya, hanya tiga daripada 30 penghuni tersebut terperangkap dalam runtuhan manakala selebihnya selamat susulan sedang makan di dewan serta mengulang kaji pelajaran di bahagian lain wisma berkenaan.

“Mangsa yang cedera telah diselamatkan oleh warden dan beberapa pelajar lain sebelum ketibaan pihak berkuasa dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Soffian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan baki 27 penghuni yang terselamat ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, di sini.

“Mereka akan dibawa ke wisma tersebut menggunakan kenderaan bomba dan wisma ini akan ditutup sementara bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan termasuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tambah Soffian, tiada elemen khianat dikenal pasti setakat ini.

Dalam pada itu, Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, seramai 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Paya Terubong dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Jamil.

“Sebsik tiba kita dapati, runtuhan membabitkan bumbung berlaku di tingkat 1 bangunan itu namun mangsa yang cedera telah diselamatkan orang awam.

“Kita buat pemeriksaan lanjut agar tiada mangsa lain terperangkap selain memastikan bangunan itu selamat tanpa sebarang pergerakan membahayakan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, dia terkejut dengan insiden tersebut.

Mohd Yussof.

“Kita mula beroperasi di sini sejak 1984 dan bangunan ini boleh dikatakan bangunan warisan dan kita telah menaik tarafnya beberapa kali,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast