Ong Choo Shuan

KUBU GAJAH – Sebuah keluarga Cina yang merupakan penyokong tegar Barisan Nasional (BN) sangat berharap kemenangan besar buat parti komponen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi masa depan lebih terjamin.

Kru MalaysiaGazette terkejut apabila rata-rata pengundi Cina yang ditemuramah sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, rupa-rupanya berasal dari keluarga sama dengan nama awalan mereka Ong.

Walaupun berketurunan Cina, namun kesemua mereka juga amat fasih bercakap Bahasa Kebangsaan dan ramah.

Menurut Ong Choo Shuan, 59, keluarganya sudah menetap di Parlimen Larut terutamanya di Kubu Gajah lebih 60 tahun dan kesemua mereka dididik untuk menyokong ‘dacing’ tidak kira apa jua situasi.

“Yang kami tahu cuma BN sahaja. Kita kenal logo dacing sahaja. Memang BN sahaja boleh tolong kita. Selama lebih 60 tahun pun, tempat ini mereka (BN) sahaja bangunkan. Sini DAP semua tidak ada pengaruh. Hanya BN atau UMNO sahaja.

“Kita pun begitu. Sejak saya kecil sampailah sekarang saya sudah 59 tahun, kita sokong satu sahaja, BN. Kita pun faham itu sahaja. Dari dulu sampai sekarang, jika wakil rakyat lompat pergi tempat lain, kita sokong parti juga,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya di sini di Redang Panjang.

Calon Barisan Nasional (BN) P. 056 Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud menyantuni penduduk dari rumah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Kampung Kubu Gajah, Larut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2022.

Kata Choo Shuan lagi, sentimen masyarakat di kawasan Parlimen Larut mahupun DUN bawahnya, kebanyakannya penyokong tegar BN dan tidak pernah beralih kepada yang lain walaupun ketika tsunami.

“Pilih siapa lagi? BN sahajalah. Tidak perlu tukar-tukar,” tegasnya.

Adiknya pula, Ong Choo Seia, 58, yang menjalankan perniagaan kedai mekanik berkata, sokongan kepada BN mampu menjamin kestabilan dan kemakmuran.

Jaminan ini bukan hanya sekadar slogan sahaja, katanya.

Ong Choo Seia

“Apa yang kamu hendak saya cakap? Kita semua BN sahaja. Kita pilih BN sahaja. Calon (Mohd Shafiq) kali ini juga orang muda, semangat tinggi. Bagus. Sini kita tidak banyak masalah, bagi kami semuanya elok kerana prestasi BN selalunya bagus dan elok.

“Kita sambung lagi bagi undi kita pada BN. Tukar calon kali ini lepas tiga penggal ini juga bagus. 

“Nasihat saya pada semua wakil rakyat, jangan rasuah-rasuah itu yang paling mustahak jika mahu kami (pengundi) berterusan menyokong kamu,” ujarnya.

Untuk Ong Chee Yang, 69, yang juga abang sulung, mahu PRU di Larut dimenangi oleh calon-calon BN sahaja bagi memastikan pelbagai pembangunan terbantut berjalan seperti sedia kala.

Ong Chee Yang

“Mana boleh cakap siapa kita sokong? Inikan rahsia. Tapi semua tahu, sini BN sahajalah. Tolong kerja baik-baik. Saya tidak mahu cakap apa-apa lagi, saya keluar undi kerajaan yang baik sahaja,” katanya.

Parlimen Larut menyaksikan empat pertembungan iaitu calon BN, Mohd Shafiq Fhadley, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Perikatan Nasional) yang juga merupakan penyandang tiga penggal sebelum lompat masuk Bersatu pada 2019.

Dua lagi calon ialah  Zolkarnain Abidin (Pakatan Harapan) dan Auzaie Fadzlan Shahidi daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Pada PRU14, Hamzah menang di Parlimen Larut dengan menewaskan calon PKR, Khairil Anuar Akhiruddin dan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi. -MalaysiaGazette