Klinik 1Malaysia yang pernah ditempatkan di Damansara Damai sebelum PRU14.

KOTA TAMPAN – Tiada kelibat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini namun idea dan jasa-jasannya dalam membantu rakyat terutama golongan susah masih terus diingati.

Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang merupakan idea Najib ketika mentadbir negara sebelum Pilihan Raya Ke-14 sangat membantu golongan B40 dalam menjalani kehidupan mereka.

Menurut Hazamimah Bitah, 54, bagi golongan B40 dan penduduk luar bandar, kebanyakan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) itu telah banyak mengurangkan kesusahan hidup mereka sebelum PRU14, malangnya dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hazamimah Bitah

“Dulu BN ada Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia. Barangan di kedai itu murah-murah buat kami, kalau klinik hanya bayar RM1 sahaja. Memang senang buat kami.

“Sekarang bila semua barangan naik, kita teringat pada kedai 1Malaysia itu. Memang dulu bila ada BN, wakil rakyat pun lebih prihatin dan tahu apa keperluan kami. Bila tidak ada semua ini, memang rasa susah sangatlah.

“Bila ada kurang, pergi bilik ADUN mesti dapat bantuan. Kalau boleh BN, biar kekal menang dan perintah sebagai kerajaan rakyat senang. Bantuan anak-anak dan lain-lain. Kerajaan BN Perak banyak memberi. Alhamdulilah,” katanya ketika ditemui di Dataran Tasik Raban di sini.

Kata Hazamimah lagi, jika BN menang besar diharapkan semua inisiatif-inisiatif yang banyak membantu rakyat yang dimansuhkan oleh Pakatan Harapan dapat dikembalikan semula.

Alias Awang Cik Nik

Dalam pada itu, kata Alias Awang Chik Nik, 74, parti-parti selain BN hanya pandai menjanjikan bulan dan bintang tapi tidak ada apa-apa yang dilaksanakan apabila kuasa ada di tangan mereka.

“BN memang ok dan perlu terus perintah seperti sebelum ini. Pembangkang ini hanya pandai bagi janji bulan bintang sahaja kepada kita. Kita hanya dapat tengok bulan dan bintang itu, tidak akan dapat rasa apa-apapun.

“Mintalah BN kembali memerintah dengan wakil-wakil rakyat yang baik dan sentiasa mahu membantu kita,” ujarnya.

Ahmad Terliza Yahya

Bagi Ahmad Terliza Yahya, 49, rakyat sudah semakin tertekan dengan keadaan harga barang yang banyak menekan kehidupan mereka saban hari.

“Harga barang ini sudah semakin melampau, kita yang niaga kecil-kecil ini hendak untung 50 sen pun sukar. Memang susah sangatlah. Semua sibuk berpolitik sedangkan isu kami ini perlukan perhatian. Bantu peniaga-peniaga kecil selesaikan masalah kami,” ujarnya.

Wan Mahani Mohd Mansor

Peniaga muda, Wan Mahani Mohd Mansor, 30, pula merasakan pergolakan politik dan ketidakstabilan menyebabkan rakyat sengsara terutamanya golongan B40 selain penduduk luar bandar.

“Tengok harga minyak, kita yang berniaga ini tidak boleh beli lebih, semuanya telah dihadkan. Saya mohon subsidi balik seperti dulu-dulu. Bantulah peniaga-peniaga kecil ini. Banyak subsidi telah tiada, perlu kembalikan semuanya,” katanya. -MalaysiaGazette