Calon Pakatan Harapan P.098 Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media mengenai Deklarasi Gombak Bermaruah 5 Tekad Untuk 5 Tahun di Bilik Gerakan Utama PH Cabang Gombak, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 NOVEMBER 2022.

GOMBAK – Jawatan Menteri Besar Selangor yang dipegang oleh Datuk Seri Amiruddin Shari ketika ini adalah sebagai anggota pentadbiran bukannya penjawat awam yang perlu meletakkan jawatan sekiranya mahu ertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak itu berkata, beliau sudah menerima penjelasan daripada bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR0 dan nasihat perundangan daripada seorang peguam berhubung isu terbabit.

“Dua tiga hari ini ada sebaran jahat yang telah dikeluarkan daripada beberapa pihak yang mempertikaikan keabsahan saya sebagai calon sama ada kedudukan Menteri Besar dianggap sebagai penjawat awam.

“Saya telah sebenarnya sudah menerima penjelasan daripada bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof  bahawa jawatan Menteri Besar (MB) adalah anggota pentadbiran, bukan penjawat awam.

“Malah saya juga merujuk hal ini kepada penasihat undang-undang Selangor, William Yeong, selaku peguam yang memahami selok belok undang-undang telah menggariskan perkara sama berdasarkan rujukan kes sebelum ini,” katanya selepas mengumumkan manifesto Deklarasi Gombak Bermaruah 5 Tekad untuk 5 Tahun di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak.

Amiruddin berkata demikian susulan terdapat dakwaan tular di media sosial yang berniat mahu menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai Menteri Selangor yang tidak boleh bertanding pada PRU ini.

Tegas Pengerusi PH Selangor itu, mereka yang melakukan tindakan sedemikian dilihat naif dan tidak ambil penuli berkaitan perlembangaan serta peraturan yang telah digariskan sebelum ini.

“Jadi tentang kedudukan saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu, saya rasa kenyatan dibuat oleh mereka yang agak naif dan jahil terhadap perlembangan dan peraturan.

“Isu ini telah dijawab hari ini. Isu ini juga telah ditularkan menerusi platform Whatsaap bagi mereka yang rasa nak menang percuma. Tiada nak menang percuma, berlawanlah dulu. Jangan guna cara macam itu, tak elok,” ujarnya dalam nada sinis. – MalaysiaGazette