Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya tergendala bukan perkara baharu, kata calon Parti Berjasa bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli.

Malah, kata Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) itu, insiden kerosakan perkhidmatan pengangkutan awam itu pernah berlaku pada 24 Mei tahun lalu menyebabkan 47 cedera parah.

Katanya, insiden itu disifatkan terburuk melibatkan pengangkutan rel.

Rosli Ramli

“Kementerian Pengangkutan sepatutnya dari awal memandang serius isu kerosakan pengangkutan awam terutama LRT ini.

“Sekiranya syarikat pengangkutan awam gagal menyediakan perkhidmatan yang selamat , sukar untuk menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam selepas ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Rapid Rail Sdn. Bhd. menggantung operasi 16 stesen LRT melibatkan laluan Kelana Jaya selama seminggu sehingga 15 November ini.

Ia melibatkan stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Penggantungan itu terpaksa dibuat kerana mengalami masalah sistem pemanduan automatik yang menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Menurut Mohd Rosli, masalah gangguan teknikal itu perlu diatasi segera agar tidak berulang memandangkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah meluluskan kira-kira RM800 juta untuk “mid-life refurbishment” melibatkan 28 set tren siri 818.

Katanya, menteri itu juga menjanjikan sebanyak 19 tren jenis baharu akan diterima pada suku keempat tahun hadapan.

“Bukan itu sahaja, bilangan bas Rapid KL juga tidak mencukupi bagi memastikan perkhidmatannya berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berjanji jika GTA dipilih untuk menjadi kerajaan selepas PRU15, usaha menambahbaik perkhdimatan itu akan diteruskan bagi menyediakan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna. – MalaysiaGazette