Judge Mohd Nazlan Mohd Ghazali 1MDB SRC International conflict of interest Najib Razak
Mohd Nazlan Mohd Ghazali

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung dua persoalan perlembagaan iaitu sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata mereka memerlukan masa untuk membincangkan perkara itu.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mendengar hujah kedua-dua pihak pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Tiga peguam iaitu Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai memohon mahkamah memutuskan dua persoalan undang-undang iaitu sama ada agensi siasatan jenayah hanya dibenarkan menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas.

Persoalan kedua ialah sama ada Pendakwa Raya mempunyai bidang kuasa untuk memulakan atau menjalankan prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat di ketiga-tiga mahkamah.

Peguam terbabit telah memfailkan saman terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan susulan tindakan agensi itu membuka kertas siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas satu laporan dibuat berhubung dakwaan terdapat sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan di dalam akaun bank Mohd Nazlan iaitu lebih RM1 juta.

Mereka memohon deklarasi bahawa siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuh kesalahan rasuah membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020.

Pada prosiding hari ini, Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili ketiga-tiga peguam, berhujah bahawa tindakan SPRM menghebahkan siasatan terhadap Mohd Nazlan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kesemua peristiwa itu boleh dianggap sebagai serangan ke atas badan kehakiman meskipun jika ia tidak disengajakan,” katanya.

Malik Imtiaz juga berkata para hakim akan terdedah kepada komplot memalukan agensi siasatan jenayah dan berpotensi didakwa meskipun mereka tidak melakukan kesalahan.

Beliau berkata siasatan agensi seperti SPRM, yang terletak di bawah Cabang Eksekutif, terhadap seorang hakim mahkamah atasan yang sedang berkhidmat, boleh dianggap sebagai siasatan ke atas badan kehakiman secara keseluruhan.

“Ia akan menjejaskan kebebasan kehakiman dan merosakkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman,” katanya sambil menambah mekanisme khusus bagi menangani salah laku kehakiman yang bertujuan memastikan keyakinan awam terhadap badan kehakiman telah diperuntuk di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Mekanisme ini membabitkan pendengaran di hadapan sebuah tribunal yang diwujudkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jawatankuasa Etika Hakim(JEC),” katanya sambil menambah tribunal dan JEC terbabit adalah bebas daripada cabang eksekutif serta legislatif.

Malik Imtiaz berkata langkah memberikan kebebasan dan kuasa tanpa syarat kepada agensi siasatan jenayah untuk menyiasat para hakim akan menimbulkan tanggapan bahawa cabang Eksekutif, melalui badan terbabit, boleh mengenakan tekanan ke atas badan kehakiman bagi tujuan kolateral.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili Azam, SPRM dan kerajaan, pula berhujah cadangan pemohon bahawa tiada siasatan serta pendakwaan jenayah boleh dilakukan sehingga atau selepas seorang hakim yang sedang berkhidmat digantung tugas adalah cacat.

Beliau berkata tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang hakim yang sedang berkhidmat atau telah bersara daripada disiasat.

“Jika inilah hujah mereka maka seorang Ahli Parlimen atau Perdana Menteri boleh menggunakannya untuk mempertikai sebarang siasatan terhadap mereka,” katanya.

Liew juga berkata Ketua Hakim Negara boleh dilihat memainkan peranan sebagai penyiasat, pendakwa dan hakim jika beliau perlu memutuskan sama ada satu representasi perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan tribunal dan penggantungan seseorang hakim yang sedang berkhidmat untuk memberi laluan kepada siasatan serta pendakwaan jenayah.

Beliau menggesa mahkamah agar mengambil notis kehakiman bahawa dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah ketika mereka masih berkhidmat.

— BERNAMA

 

1 Komen

Comments are closed.