KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli menurun 5.9 peratus pada bulan September 2022 (35,460 tan metrik) berbanding pada bulan Ogos 2022 (37,666 tan metrik).
Manakala, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 13.9 peratus (September 2021: 41,180 tan metrik).
Jabatan Perangkaan berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.9%) berbanding sektor estet (12.1%).
Jumlah stok getah asli pada September 2022 menurun 5.7 peratus kepada 198,659 tan metrik berbanding 210,768 tan metrik pada Ogos 2022.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.2%) dan estet getah (0.1%).
Manakala eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,542 tan metrik pada September 2022 menurun 9.4 peratus berbanding Ogos 2022 (60,170 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 46.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2022 diikuti Jerman (6.1%), Brazil (4.0%), Iran (3.8%) dan Amerika Syarikat (3.1%).
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 7.4 peratus (September 2022: 476.76 sen sekilogram, Ogos 2022: 514.73 sen sekilogram), manakala sekerap menurun 12.6 peratus (September 2022: 465.86 sen sekilogram, Ogos 2022: 533.29 sen
sekilogram).
Prestasi suku ketiga 2022 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 48.7 peratus kepada 110,969 tan metrik berbanding 74,635 tan metrik pada suku kedua 2022.
Sementara pPrestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku ketiga 2022 pula mencatatkan penyusutan 16.4 peratus berbanding suku ketiga 2021 (132,732 tan metrik). – MalaysiaGazette