LARUT – Rata-rata pengundi Parlimen Larut sangat berharap tidak ada lagi insiden lompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.
Pada mereka, tindakan lompat parti oleh wakil rakyat yang sudah dipilih hanya merugikan rakyat kerana sudah mempercayai pemimpin yang mampu membela nasib mereka selepas menang.
Namun, sebaliknya yang berlaku pengundi ditinggalkan demi karier politik.
Ramai dalam kalangan mereka juga amat berharap wakil rakyat yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini juga dalam kalangan anak tempatan yang jauh lebih rapat dengan mereka berbanding calon luar yang mereka tidak kenali.
Menurut Halimatull Sadiah Yaacub, 62, apa yang di harapkan olehnya pada PRU15 ini adalah seorang wakil rakyat dalam kalangan tempatan dan berjiwa rakyat.
“Minta wakil rakyat lebih peka dengan permasalahan kita. Bantu kita lepas menang. Macam saya ada anak OKU, mintalah bantuan di ambah baik.
“Buatlah kerja ikhlas. Jika wakil rakyat anak tempatan, orang kampung pun senang hendak berinteraksi. Kami kenal,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kubu Gajah semalam.
Kata Abdullah Rahman, 65, beliau dan keluarganya sentiasa menyokong BN tidak kira apa jua namun berharap selepas ini tidak ada lagi insiden ‘lompat parti’ yang menyebabkan masyarakat setempat keliru.
“Kita dari dulu lagi undi BN, bila ada yang paling tadah, pengundi juga yang susah. Kita tidak tahu rujuk kepada siapa kerana kita undi BN bukan parti lain.
“Lepas ini kalau menang, hati-hatilah tengok orang miskin seperti kami, orang kampung. Kadang-kadang kalau hendak minta bantuan, susah sangat. Bila pergi, tidak ada apa-apa. Tengoklah orang kampung yang mana susah, ambil perhatian sikit. Tolonglah ya,” ujarnya
Bagi Sollhah Ahmad, 65, yang mengakui penyokong tegar UMNO BN amat berharap calon yang diperketengahkan kali ini dalam PRU tidak akan bertindak seperti yang terdahulu.
“Harap kali ini betul-betullah, kalau tidak kami yang susah sebenarnya. Yang sebelum ini lepas menang tidak turun langsung, tidak kenal langsung. Tidak pernah tanya khabar, tidak beri bantuan. Kamilah yang susah.
“Tolonglah jaga orang-orang yang sudah bantu wakil rakyat menang. Tolong orang susah,” tegasnya.
Harapan yang sama turut diluahkan oleh Fatimah Sakman, 35, yang mahu sesiapa sahaja yang menang jangan hanya tabuk janji sahaja.
“Saya jarang keluar rumah, buat bisnes kecil-kecil. Harap sesiapun menang jaga pengundi mereka,” ujarnya.
Untuk makluman, penyandang tiga penggal berturut-turut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) menang atas tiket BN di Parlimen Larut sebelum melompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kini BN telah mencalonkan Mohd Shafiq Fhadly yang akan bertembung Hamzah Zainuddin (Perikatan Nasional) bersama dua lagi calon lain, masing-masing dari Pakatan Harapan dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) pada PRU ini. -MalaysiaGazette