PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat harta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang diisytiharkan sebanyak RM18.8 juta.
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz mempersoalkan aliran kemasukan duit melalui syarikat, Invoke Solutions Sdn Bhd (Invoke) yang disifatkan mencurigakan.
“Invoke ditubuhkan pada 2016, yang mana sejarah syarikat saham itu tiga kali rugi dan hanya dua kali untung”
“Dari mana datangnya RM16 juta lebih ini? Dari mana datangnya dana tersebut?
“Invoke dapat duit dari crowdfunding (dana tapi macam mana dia bayar gaji pekerja semua? Dia kena isytihar pendanaan ramai (crowdfunding) itu dari mana?” katanya kepada pemberita ketika hadir membuat laporan kepada SPRM, di ibu pejabat SPRM pada 11.30 pagi tadi.
Namun, beliau berkata, tiada masalah sekiranya pengaliran wang itu dari sumber yang sahih.
Kata Syed Muhammad Imran lagi, jika benar pengasas firma analisis data itu terlibat dengan pengubahan wang haram, beliau tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu lihat dari segi undang-undang apakah Rafizi layak bertanding di Parlimen Pandan” katanya lagi.
Walaupun gesaan ini dibuat, Syed Muhammad Imran tidak mendakwa Rafizi bersalah.
Laporan hari ini dibuat berdasarkan pendedahan hasil penerimaan kewangan INVOKE oleh beberapa pengguna di laman sosial Twitter @drindahauz; di Tiktok @mukhlis_maghribi; dan Telegram Edisi Siasat MY.
Pada 2 November lalu media melaporkan Rafizi telah mengisytiharkan aset bersih hampir RM19 juta.
Ia susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan syarat semua calon yang ingin bertanding wajib mengisytiharkan harta.
Rafizi juga pemimpin yang pertama dalam PKR mengisytiharkan asetnya secara terperinci sejak 2016 mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 sebagai seorang yang berminat menjadi calon pada PRU15.
Senarai harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau terkandung di dalam Lampiran 1 yang dimuatnaik dalam akaun bersumpah pengisytiharan harta yang dikongsi di media sosial. – MalaysiaGazette