Logo Lembaga Minyak Sawit Malaysia

KUALA LUMPUR – Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat 2.63 peratus kepada 1.31 juta tan pada Oktober 2022 daripada 1.28 juta tan pada bulan sebelumnya susulan pengeluaran yang lebih tinggi, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dalam kenyataan pada Khamis, badan itu menjelaskan, inventori minyak sawit yang diproses meningkat 5.11 peratus kepada 1.09 juta tan pada Oktober 2022 daripada 1.04 juta tan pada bulan sebelumnya.

“Jumlah stok minyak sawit meningkat 3.74 peratus kepada 2.40 juta tan pada Oktober 2022 daripada 2.32 juta tan bulan sebelumnya,” jelas MPOB.

Bagi pengeluaran pula, MPOB menambah, pengeluaran MSM meningkat 2.44 peratus kepada 1.81 juta tan pada Oktober 2022 daripada 1.77 juta tan pada September 2022.

Pengeluaran isirung sawit turut meningkat 2.73 peratus kepada 448,111 tan pada Oktober 2022 daripada 436,189 tan pada bulan sebelumnya, jelas badan itu.

Minyak isirung sawit mentah naik 6.21 peratus kepada 201,216 tan daripada 189,445 tan bagi tempoh yang sama, jelasnya.

Mengenai eksport minyak sawit, MPOB menjelaskan ia meningkat 5.66 peratus kepada 1.50 juta tan pada Oktober 2022 daripada 1.42 juta tan pada September 2022 manakala eksport minyak isirung sawit susut 3.21 peratus kepada 94,851 tan daripada 98,001 tan bagi tempoh yang sama.

“Eksport oleokimia berkurangan 4.23 peratus kepada 227,281 tan pada Oktober 2022 daripada 237,313  tan pada bulan sebelumnya manakala eksport biodiesel merosot 35.57 peratus kepada 18,894 tan daripada 29,324 tan bagi tempoh yang sama,” menurut MPOB.

Import MSM pada Oktober 2022 meningkat 4.74 peratus kepada 6,601 tan daripada 6,302 tan pada bulan sebelumnya.

Jumlah import minyak sawit pula berkurangan 49.85 peratus kepada 66,349 tan pada Oktober 2022 daripada 132,303 tan pada bulan sebelumnya, menurut MPOB. – BERNAMA