Mohd Zulkifli Abdul Fattah

KUALA LUMPUR – “Sudah empat tahun saya bekerja dan menabur khidmat bakti di Parlimen Batu dan banyak isu yang dibangkitkan penduduk di sini saya dan pasukan saya selesaikan,”.

Demikian pengakuan calon yang bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM), Zulkifli Fattah kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, dalam tempoh berkhidmat secara sukarelawan sebagai aktivis masyarakat, bermakna beliau bukan orang baharu di Parlimen Batu.

“Khidmat saya di Parlimen ini sudah pun saya buktikan melalui kerja yang saya dan pasukan saya lakukan dengan mengenengah dan menyelesaikan banyak aduan serta isu yang dibawa masyarakat kepada saya.

“Ini termasuk isu berkaitan dengan infrastruktur awam, pendapatan isi rumah, rumah ibadat, peluang pekerjaan, pendidikan, lambakan warga asing, isu berkaitan syarikat pembinaan dan isu kemudahan serta fasiliti PPR dan PA di seluruh kawasan ini.

“Saya juga dapat menyelesaikan beberapa isu yang masyarakat hadapi selama lebih dari 20 tahun yang tidak diberi perhatian, tidak diendahkan dan tidak dapat diselesaikan oleh Ahli-ahli Parlimen sebelum ini,” katanya.

Kata Zulkifli, antara pencapaian beliau dan pasukannya lakukan di Parlimen itu ialah membaiki tangki air bocor di Blok 29 PPR Seri Perak yang berlarutan selama empat tahun, dalam masa dua minggu.

Menurutnya, beliau juga mengusahakan dengan agensi kerajaan dan kontraktor untuk menyelesaikan masalah sisa kumbahan akibat sistem pembentungan yang tidak dirancang dengan betul di PPR Batu Muda.

“Saya juga ulang alik berjumpa pihak berkenaan supaya jalan raya di kawasan Flat Union, Sentul iaitu Jalan Union, Jalan Union 1, 2, 3 dan 4 yang tidak diturap selama 20 tahun, telah diturap.

“Pasukan saya juga berjaya mendapatkan semula projek pembinaan 250 unit Rumah Mampu Milik untuk bekas penduduk Kampung Railway Sentul yang tertangguh selama 25 tahun. Alhamdulillah, projek ini dijangka siap Disember ini.

“Saya telah menjalinkan kerjasama dengan KK Group of Companies yang membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dengan tawaran perkembangan kerjaya kepada mereka yang memerlukan kerja,” katanya.

Di samping itu, katanya, beliau turut menjalinkan kerjasama dengan Lim Kok Wing University untuk mendapatkan tawaran biasiswa kepada 100 pelajar lepasan SPM dari kategori B40 melanjutkan pengajian.

Bahkan, katanya, beliau terlibat dalam usaha membersihkan Pasar Borong Selayang daripada dibanjiri pekerja warga asing dan hasilnya pasar itu bebas daripada lambakan Pati.

“Usaha ini telah mengembalikan peluang pekerjaan di Pasar Borong Selayang kepada warga tempatan.

“Selain itu, saya juga menyediakan pondok makanan untuk mengedarkan makanan percuma kepada mangsa banjir selama seminggu ketika banjir baru-baru ini, di samping berusaha mendapatkan rumah PPR kepada penduduk yang memerlukan.

“Ini adalah sebahagian daripada sumbangan saya untuk masyarakat Parlimen Batu. Walaupun dengan hanya menggunakan platform NGO, saya dan pasukan sentiasa bekerja keras dan lantang dalam memastikan isu masyarakat dapat diselesaikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette