simpanan KWSP
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PN akan membenarkan sekali lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum mencerminkan bagaimana pekerja di Malaysia dilayan.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’angelus berkata, kenyataan itu bermakna pekerja terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan mereka untuk memenuhi keperluan harian semasa kerana ekonomi negara tidak diuruskan secara berkhemah.

Dakwanya, kenyataan itu sekali gus menunjukkan Muhyiddin mengakui dan mengesahkan bahawa kerajaan PN tidak tahu bagaimana untuk menaik taraf golongan miskin yang bekerja.

Sedangkan, apabila pekerja mengeluarkan simpanan persaraan mereka, ia akan menyebabkan negara dan rakyatnya menghadapi kegagalan ekonomi yang besar.

”Apa akan berlaku apabila pekerja mencapai umur persaraan mereka? Apakah simpanan yang perlu mereka harapkan pada tahun-tahun lanjut mereka, di mana mereka tidak memperoleh pendapatan sara hidup serta kos perubatan mereka meningkat?

”Adakah kerajaan kemudiannya akan memberikan setiap orang melebihi umur tertentu wang saraan dan tidak boleh bekerja untuk menampung keperluan hidup mereka?,” soal beliau dalam kenyataan di sini.

Callistus berkata, mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab akan memastikan pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka apabila meraka bersara.

Tegasnya, kerajaan harus memastikan setiap pekerja dijamin gaji sara hidup yang boleh diterima dan terdapat caruman bulanan yang cukup sesuai ke dalam simpanan persaraan mereka.

”Dengan peningkatan inflasi, dan paras gaji yang mengecewakan akan menjejaskan golongan miskin yang bekerja negara ini terdesak. Bukan pekerja
tidak tahu implikasi kesan jangka panjang pengeluaran KWSP cuma mereka tidak mempunyai pilihan.

“Mereka tidak mempunyai pilihan, mengenai penggantian kerajaan yang tidak bertanggungjawab terhadap pekerja Malaysia dan khususnya golongan miskin yang bekerja, dan memudahkan eksploitasi mereka.

”Orang seperti Muhyiddin adalah ahli politik yang akan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, dan tidak tersentak golongan yang dieksploitasi,” jelasnya.

Callistus berkata, sewajarnya setiap parti politik dan setiap calon yang bertanding dalam pilihan raya harus tegas dan menjelaskan pendirian mereka dalam isu pekerja.

Ketika melancarkan manifesto PN pada Ahad lalu, Muhyiddin berkata, PN akan mempertimbangkan satu lagi skim pengeluaran KWSP memandangkan ramai yang memintanya.

Katanya, ia akan dilaksanakan secara bersasar dan mengambil kira sama ada pencarum mempunyai dana mencukupi bagi persaraan mereka.

Awal tahun ini,  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, pihaknya tidak bercadang membenarkan lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebagai pengurus dana persaraan perkara yang perlu diutamakan kini ialah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarumnya. – MalaysiaGazette