BAGAN SERAI – Mohamad Noor Dawoo antara calon Barisan Nasional yang hampir tumbang dibadai tsunami ketika menjadi calon di Dewan Undangan Negeri Selising pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai YB Cikgu hanya memperoleh majoriti sebanyak 97 undi sahaja.
Pun begitu dia tetap memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk walaupun menjadi ADUN pembangkang selama 22 bulan dan berada dalam kerajaan campuran hampir dua tahun.
“Hanya dua tahun kebelakangan ini menjadi kerajaan, itu pun perkongsian dengan tidak dibantu oleh parlimen ketika itu. Saya ingin gariskan kejayaan saya antaranya ialah saya bina Dataran Selising dan Dataran Gedong.
“Terdapat trafik light baharu yang kini dibina di simpang tiga. Bina jeti di semua pangkalan, korek dan dalamkan sungai untuk memudahkan nelayan.
“Membina tempat parking bot dan motosikal. Saya rasa ini usaha yang kita buat yang rakyat boleh tengok,” katanya.
Terbaharu beliau membina mercu tanda ‘DUN Selising Milik Kita’ di 13 tempat sebagai kebanggaan bahawa pembangunan itu ada setiap pelusuk di kawasan itu.
Berbekalkan majoriti 97 undi YB Cikgu diberi kepercayaan oleh BN untuk mempertahankan semua DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut beliau sehingga kini tidak ada isu setempat yang besar boleh digunakan oleh calon-calon lawan untuk menewaskan beliau pada pilihan raya yang berlangsung 19 November nanti.
YB Cikgu berkata, banyak lagi pembangunan yang ingin beliau bawa ke DUN Selising.
Jika dipilih sekali lagi sebagai wakil rakyat di kawasan itu beliau akan memastikan perkhidmatan jalur lebar akan disediakan di Selising bukan sahaja untuk penduduk tetapi juga pelajar.
Dia juga ingin memastikan projek rumah murah dibina bagi memudahkan rakyat memiliki rumah.
“Penduduk di sini kawasan luar bandar kebanyakan petani dan nelayan. Kemudahan yang perlu adalah pembinaan rumah kos sederhana dan murah.
“Proses ini telah dibawa ke Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah bersetuju cuma untuk menanti masa dilaksanakan,” katanya.
Beliau juga berhasrat untuk membina dewan dan pusat riadah untuk golongan muda menjalankan aktiviti.
Mohamad Noor akan berhadapan dengan calon Pakatan Harapan Saqif Ansorullah dan Perikatan Nasional Sallehuddin pada PRU15.
DUN Selising mempunyai 24,241 pengundi.- MalaysiaGazette