GOPENG – Perak mempertimbangkan untuk mengisytiharkan cuti umum pada 18 November, sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan hanya dapat diputuskan selewat-selewatnya Isnin depan, setelah mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-undang Negeri (LA).
“Ya, kita sedang mempertimbangkan beri cuti sehari awal sebelum tarikh mengundi, cuma kita sedang memastikan siapa orang yang berkelayakan untuk umumkan. Ini kerana di Selangor, Dewan Undangan Negeri (DUN) belum bubar.
“Di sini, saya hanya caretaker, bolehkah kita umum atau Setiausaha Kerajaan Negeri? Kita akan putuskan Isnin ini, tapi kecenderungan untuk kita memberi cuti untuk membolehkan orang ramai pulang ke kampung mengundi, kita boleh buat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Solidariti Barisan Nasional (BN) Gopeng @ Sungai Rapat di Bilik Gerakan DUN N44, Kampung Meranti Changkat Larang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengisytiharkan cuti umum pada 18 November ini, bagi memudahkan pergerakan pengundi pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi. -MalaysiaGazette