Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan anak muda yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

BERA – Kerajaan komited dalam manifestasi untuk membela golongan muda dan belia di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, dalam Bajet 2023, kerajaan menyediakan banyak inisiatif kepada mereka melalui program berfokus untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi orang muda.

“Sebanyak RM305 juta disediakan pinjaman khas untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA dan Agro Bank.

“Melalui Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia, kita sedia dana RM50 juta, tawar pinjaman sehingga RM50, 000 untuk 10, 000 anak muda berniaga termasuk bidang mereka minat iaitu food truck yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di sini hari ini.

Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Subahan Kamal (tengah) melakukan gimik Perasmian Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terlibat dalam ekonomi baharu seperti gig.

Menurutnya, ekonomi gig kini menjadi alternatif untuk Keluarga Malaysia menjana pendapatan.

“Jika pada tahun 2020, hanya segelintir gig riders dilindungi, kini lebih 260,000 mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO setelah kerajaan turut menyumbang kepada carumannya.

“RMK-12 turut memberi tumpuan khas kepada pengembangan ekonomi gig sebagai salah satu dimensi ekonomi baharu yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan apabila syarikat- syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa
mengurangkan operasi atau ditutup.

“Di bawah sistem Insurans Pekerjaan ditawarkan PERKESO, seramai 188,526 Keluarga Malaysia telah menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 bilion bagi membantu mereka yang terkesan meneruskan kehidupan harian.

“Ini belum mengambil kira pampasan, bantuan perkhidmatan pekerjaan juga turut diberikan,” katanya.

Sementara itu, Program PENJANA HRD Corp pula telah berjaya memberikan latihan semula kepada hampir 100,000 Keluarga Malaysia daripada pelbagai latar belakang dengan peruntukan RM500 juta sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

Impak positif daripada program JaminKerja-Insentif Penggajian yang dilaksanakan oleh PERKESO telah diteruskan dalam Bajet 2023.

Berdasarkan statistik PERKESO, sehingga 28 Oktober 2022 jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 65,774 orang pekerja dengan penglibatan 8,513 majikan.

Menurutnya, Kajian Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Ilham
Centre baru-baru ini mendapati 82.5 peratus rakyat mahu.

HRD Corp turut memperkenalkan HRD Corp Placement Centre (HPC), pada April tahun lalu dan ia merupakan portal sehenti pemadanan latihan kemahiran serta kaunseling dan bimbingan kerjaya yang telah menyediakan hampir 60,000 penempatan pekerjaan.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang celik teknologi maklumat kini lebih mudah mendapat pekerjaan dengan Portal MYFutureJobs yang diiktiraf sebagai Portal Pekerjaan Negara kendalian PERKESO.

“Sehingga 28 Oktober 2022, portal ini telah berjaya membantu 682,681 individu dari pelbagai kategori mendapat pekerjaan di seluruh negara.

Selaras dengan transformasi digital negara, HRD Corp juga memperkenalkan aplikasi super MyHRDCORP yang menawarkan semua perkhidmatan, maklumat dan inisiatif dalam satu platform dan kini mempunyai lebih 12,000 pengguna.- MalaysiaGazette