IPOH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta semua calon parti itu supaya memastikan parti memperoleh kemenangan secara kolektif dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau berkata, calon tidak sepatutnya hanya mementingkan kemenangan diri sendiri dan dalam masa yang sama meremeh kewibawaan teman-teman dalam parti yang turut bertanding.
“Dalam kempen pilihan raya bakal memasuki minggu kedua, fokus kepada kemenangan Barisan Nasional adalah keutamaan kepada kita semua.
“Bagi memenangkan BN kita perlu bersatu padu, mencapai matlamat yang sama dan tahu musuh sebenar kita.
“Janganlah kita terlalu fokus untuk memenangi diri sendiri sahaja, dengan meremeh, memperlekeh, mempersoalkan kewibawaan teman-teman sahabat dalam Barisan Nasional yang sedang bertanding,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, tidak bijak untuk meremehkan rakan parti sendiri hanya untuk mendapat simpati untuk diri sendiri daripada pengundi.
Sedangkan menurut beliau, tindakan itu merosakkan kemenangan kerusi-kerusi BN yang jauh lebih banyak berbanding kerusi yang bersifat individu.
Beliau mengajak semua calon BN supaya belajar daripada kekalahan teruk BN pada 2008 dan 2018 dengan bersama-sama bersatu hati.
“Fokuskanlah kepada usaha kemenangan BN dan elakkan daripada membuka ruang kepada musuh BN.
“Jadikanlah episod-episod hitam sejarah politik dilanda BN menjadi sempadan dan titik baharu agar kita tidak mengulang kesilapan.
“Kenyataan populis dan menguntungkan peribadi sendiri tetapi menggugat nama parti perlulah dihindari dalam keghairahan kita berkempen,” katanya.
Menurut beliau, tidak bererti untuk menang secara individu tanpa logo parti menjadi tempat bernaung.
Ahmad Zahid berkata, selepas BN mencapai kemenangan pemimpin UMNO boleh bertanding merebut jawatan dalam parti itu apabila pemilihan berlangsung.
“Insya-Allah selepas selepas BN memenangi pilihan raya umum kali ini, barulah bergerak pula ke fasa pemilihan parti.
“Sesiapa sahaja bebas untuk untuk bertanding Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan sebagainya. Asalkan mendapat sokongan akar umbi parti sendiri.
“Apapun, menangkanlah BN terlebih dahulu.Bagi calon parlimen yang berasa mampu menang selesa bantulah teman-teman di parlimen BN lain untuk menang. Inilah semangat BN kita perlu pupuk dan semarakkan! Insya-Allah.-MalaysiaGazette