GOMBAK – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak agar membuat permohonan maaf kepada anggota tentera atas dakwaan mereka menerima RM300 untuk mengundi parti tertentu semasa proses pengundi awal, baru-baru ini.
Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu cuba meremehkan kematangan anggota tentera.
“Ini satu penghinaan seolah-olah anggota tentera ini mudah disogok dengan budaya rasuah.
“Beliau perlu memohon maaf kepada warga tentera kerana warga ini telah banyak berkorban untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan pertandingan e-sport Datuk Seri Azmin Ali (DSAA) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melawar, di sini, hari ini.
Azmin diminta mengulas kenyataan Anwar mengenai dakwaan bahawa terdapat anggota tentera di Parlimen Bera Pahang yang mengundi awal untuk PRU15 dibayar RM300.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, kenyataan itu jelas mencerminkan kepimpinan PH tidak menghormati anggota tentera yang banyak berkorban demi keselamatan negara.
“Terbukti PH sentiasa berulang kali menghina dan menginjak anggota perkhidmatan awam dan terkini anggota tentera.
“Maka PH harus mengambil tanggungjawab ini dan saya percaya pegawai kerajaan termasuk anggota keselamatan akan menghukum PH dalam PRU akan datang,” katanya.
Beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengecam kenyataan calon PH bagi Parlimen Tambun itu.
Ismail Sabri meminta Anwar menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada anggota ATM kerana menuduh mereka menerima wang.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan dakwaan itu sebagai keterlaluan berkata, dakwaan Anwar dilihat sebagai usaha untuk menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – MalaysiaGazette