Calon Barisan Nasional (BN) N.47 Chenderiang, Choong Shin Heng berucap kepada penduduk orang asli semasa berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Kuala Bot, Tapah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2022.

TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N47 Choong Shin Heng yakin masyakat setempat kini lebih memahami dan menerima hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu membela, berjuang dan memberikan masa depan kepada rakyat.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, kata Sing Heng, kehadiran beliau ke Chederiang yang berada di Parlimen Tapah bukanlah ketika musim Pilihan Raya Umum (PRU) seperti segelintir pihak lawan sebaliknya sudah menetap dan menjadi ‘orang Tapah’ lebih 14 tahun.

“Ketika itu saya adalah pegawai khas kepada mantan penyandang kerusi Chenderiang selama dua penggal, Datuk Seri Mah Hang Soon. Banyak yang telah saya belajar, pendekatan paling penting beliau ajar saya ialah sentiasa dekat dengan masyarakat.

“Ambil tahu semua keperluan dan kehendak. Pengalaman hampir berbelas tahun ini sebenarnya telah banyak mengajar saya tentang masyarakat setempat tidak kira siapa mereka, latar belakang mahupun kaum termasuklah golongan orang asli.

“Rata-rata mereka kenal saya, kerja saya. Pengundi-pengundi ini seperti keluarga saya, kerana itu juga saya yakin bukan sahaja kerusi ini sebaliknya rata-rata kerusi BN akan mendapat mandat daripada rakyat pada 19 November ini,” katanya.

Sing Heng berkata demikian ketika ditemui selepas majlis merasmikan jambatan baharu dan Balai Desa Semai di Kampung Orang Asli Sungai Lah oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini.

Terdahulu ketika berucap, Saarani yang Pengerusi BN Perak turut memuji keperibadian Sing Heng yang dipercayai telah diwarisi daripada Hang Soon.

Kata Sing Hen lagi, penerimaan masyarakat selepas tsunami PRU-14 jelas kelihatan pada kali ini yang awal-awal menolak pembangkang kerana tidak menepati apa jua janji sebelum dapat mandat pada 2018.

“Isyarat itu jelas lagi-lagi apabila calon-calon BN turun padang, kita di terima dengan dada yang lapang. Ini juga kerana kita tidak berhenti berkhidmat walaupun kalah, walaupun sudah tidak menjadi kerajaan. Mungkin ini juga antara yang menjadi pemerhatian dan ukuran pengundi dan rakyat secara keseluruhan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast