PARIT – Acara seni bermain gendang dan gong digunakan oleh dua calon Barisan Nasional bagi mendekati anak muda di kawasan parlimen di sini.
Calon Parlimen Parit,, Datuk Mohd Nizar Zakaria serta calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota Khairul Shahril Mohamed hadir dalam aktiviti seni yang berlangsung di Titi Gantung.
Kumpulan anak muda tersebut turut mahir bermain alat muzik tradisional yang lain seperti serunai, gendang ibu, gendang anak dan tamburin.
“Inilah cara untuk kita dekati golongan anak muda menerusi muzik tradisional. Anak muda perlu diberikan sokongan dan dokongan.
“Mereka (anak muda) ini perlu diambil tahu dan sentiasa bersama mereka. Barulah ukhuwah itu semakin rapat dan disatukan menerusi muzik,” kata Mohd Nizar.
Menurutnya, sesibuk mana berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka tetap tidak lupa meluangkan masa bersama-sama anak muda.
Turut bersetuju, Khairul Shahril yang dilihat tidak kekok sambil memukul gong mengikut tempo dengan lagu yang dimainkan.
“Saya sangat gembira apabila anak-anak muda ini menunjukkan minat yang sangat mendalam permainan muzik tradisional yang kini semakin tenggelam ditelan zaman.
“Moga kesungguhan anak-anak muda ini akan terus memperjuangkan alat muzik ini yang bukan sahaja berkisarkan di negeri Perak sahaja tetapi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Calon DUN Bota itu turut mencuba dan belajar meniup serunai sambil gendang anak dipalu Mohd Nizar secara spontan mengikut irama lagu yang dimainkan pada ketika malam dingin dan renyai-renyai.-MalaysiaGazette