TAPAH – Kebajikan dan perjuangan untuk masyarakat orang asli akan tetap diteruskan malah digandakan oleh kerajaan negeri Perak di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dari masa ke masa bagi memastikan golongan ini tidak sesekali terabai.
Malah sehingga ke saat ini, kepentingan golongan itu akan sentiasa menjadi fokus kepada BN.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri sentiasa bersungguh-sungguh dalam membangunkan serta memperkasakan masyarakat itu.
Beliau yang merangkap Pengerusi BN Perak menambah, orang asli juga berhak mendapat semua bentuk pembangunan seperti yang dinikmati oleh rakyat di negeri berkenaan apatah lagi golongan inilah yang selalu menunjukkan kesungguhan menyokong BN.
Saarani memberitahu, ketika Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjadi Menteri Besar dan beliau sebagai Exco, kerajaan negeri meluluskan hampir 19,000 hektar tanah rizab bagi masyarakat orang asli.
Setakat ini sekitar 13,500 hektar sudah diwartakan untuk masyarakat Orang Asli dan kira-kira 5,500 hektar lagi dalam proses ukur, juga bagi tujuan yang sama untuk rizab orang asli.
“Kita sentiasa mencari jalan dalam mempertingkatkan kehidupan orang Asli. Dengan memberikan tanah-tanah ini, membolehkan orang asli membabitkan diri dalam kegiatan pertanian bagi tujuan sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan jambatan baharu dan Balai Desa Semai di Kampung Orang Asli Sungai Lah.
Turut di hadiri calon bertanding termasuk Datuk Seri M Saravanan dan juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Choong Shin Heng serta calon BN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin.
Dalam pada itu kata Saarani lagi, tanah-tanah yang telah diwartakan dan dimiliki oleh orang asli tidak sepatutnya menjual tanah itu.
“Kita ada RISDA, FELCRA dan agensi lain yang boleh menolong masyarakat orang asli. Saya cuma harap masyarakat orang asli sentiasa berusaha mengubah masa depan ke arah yang lebih baik melalui peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kita boleh buat macam-macamtetapi anda yang perlu ubah diri terlebih dahulu, kita ada ramai dalam kalangan orang asli yang telah berjaya dalam kehidupan mereka, jadi tidak ada apa-apa mustahil,” ujarnya. -MalaysiaGazette