Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyepak bola ketika bermain sepak penalti futsal bersama penduduk pada Program Sukaneka Keluarga Kampung Bukit Serdang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

BERA – Ketepikan segala perbalahan dan tumpu usaha memenangi kerusi masa Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) ini.

Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, pada waktu sekarang fokus kepada usaha membentuk kerajaan selepas PRU.

“Saya harap semua tak kira siapa dalam UMNO, kita tumpu usaha memenangi pilihan raya. Saya harap fokus kawasan bertanding pastikan setiap calon dapat sumbang kerusi kepada BN (Barisan Nasional) bentuk kerajaan

“Saya harap perkara lain ketepikan, yang penting solidariti dalam UMNO dan BN, jangan tonjol nanti rakyat lihat ia timbul spekulasi kononnya kita tak bersama.

“Yang penting jaga nama baik parti untuk kita jadi parti dominan selepas PRU15,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Tengah, Batu Papan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas konflik antara calon BN kerusi Parlimen Sungai Buloh dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui media sejak kebelakangan ini.

Menurut Ismail Sabri, kemenangan BN merupakan cita-cita dan sasaran utama ketika ini.

Terdahulu beliau menyatakan proses kempen PRU15 setakat ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang provokasi dan pergaduhan di seluruh negara.

“Ringkasnya dan secara amnya, keadaan terkawal dan tiada kejadian tak diingini berlaku dan harap berterusan sehingga hari mengundi 19 November ini.

Menurutnya, kempen hanya dua minggu sahaja dan selepas itu kehidupan kembali seperti biasa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast