Penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kejadian banjir kilat yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di SK Sungai Binjai, Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 NOVEMBER 2022.

KLANG – Mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai berharap agar hujan yang menyebabkan rumah mereka dipenuhi air tidak berulang pada 19 November ini bagi membolehkan mereka keluar mengundi.

Biarpun keadaan yang dihadapi ini menyusahkan namun tanggungjawab keluar mengundi perlu dilakukan kerana ia adalah peluang yang dinanti-nanti untuk memilih pemimpin yang  bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat terutama penduduk yang sering dilanda banjir.

Seorang mangsa banjir, Nor Azmaini Osman, 37, mengakui dengan cuaca yang tidak menentu memang sukar untuk keluar mengundi jika banjir namun sebagai rakyat bertanggungjawab dia mahu mengundi.

Nor Azmaini Osman

“Kita tidak ada pilihan (keluar mengundi) tetapi 19 November ini saja kita dapat menentukan siapa pemimpin kita. Jadi saya tidak mahu sia-siakannya,” katanya yang menaruh harapan negara ini kembali stabil supaya kerajaan yang dipilih stabil dan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Nor Azmaini telah menetap di PPS berkenaan sejak pagi Jumaat lalu, tidak menyangka rumahnya sekali dinaiki air kerana tempat tinggalnya tinggi.

Namun, katanya, air mula naik ke kawasan perumahannya sejak tahun lepas dan bimbang akan keselamatan anak-anak apabila musim hujan.

Muhammad Tarmizi Mustapha

Seorang warga emas, Muhammad Tarmizi Mustapha, 63, juga bertekad untuk keluar mengundi meskipun jika masih berada di PPS ini.

Harapannya cuma pihak-pihak terlibat perlu memastikan ada pengangkutan untuk membawa ke pusat mengundi.

“Tanggungjawab dan hak sebagai rakyat perlu dilaksanakan. Setiap orang kena mengundi walau apapun berlaku, tanggungjawab kita kena buat tidak kira sama ada banjir ke apa.

“Saya harap pihak yang berkaitan sediakanlah bantuan untuk kenderaan nak keluar dari kawasan banjir, macam saya ini pengundi luar yang akan membuang undi di Batu 3, Shah Alam,” katanya sambil tidak menafikan jika keadaan meruncing mungkin ada yang tidak dapat mengundi.

ercakap kepada MalaysiaGazette Tarmizi berterus-terang tidak mahu wakil rakyat yang sekadar menabur janji ketika turun berkempen.

“Saya harap wakil rakyat yang prihatin isu rakyat, jangan sekadar cakap tapi tak buat apa-apa. Saya tak nak wakil rakyat itu sekadar janji manis, masa mengundi baru nak datang, tapi bila bukan musim mengundi, batang hidung pun tak nampak. Kalau ada pun sekali sekala, katanya sambil membersihkan rumahnya di Taman Sri Puteri, Persiaran Hamzah Alang, Meru.

Mohd Fajri Ali

Dalam pada itu, Mohd Fajri Ali, 59, menyuarakan pandangan  PRU-15 pada musim tengkujuh tidak sesuai.

“Nasib baik dia berlaku minggu ini kalau berlaku minggu depan (19 Nov) macam mana nak pergi mengundi?

“Dengan keadaan rumah kita yang huru-hara sebab banjir, lepas tu nak fikir mengundi,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd Fajri mahu pemimpun yang bakal dilantik menyelenggara perparitan di Meru yang menjadi punca banjir kilat.

“Sekarang kerap sangat banjir, kami di sini dah senasib macam orang di Pantai Timur, asyik dilanda banjir. Sebelum ini tak pernah jadi banjir sampai masuk rumah,” ujarnya.

Sejak Khamis lalu, hujan lebat berterusan di sekitar kawasan berkenaan sekali gus menyebabkan Meru dilanda musibah sekali lagi cuma tidak seteruk tahun lalu.

Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Budiman, Jalan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan, Taman Daya, Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast