Kemeriahan hiasan bendera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dipasang sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kamung Melayu Subang, Sungai Buloh. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR -Hanya dua parti sahaja yang dilihat berpotensi besar untuk merebut takhta pentadbiran Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik berpendapat, dua parti yang bersaing sengit pada pilihan raya kali ini hanyalah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

Pada pengamatan Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, parti-parti lain yang bertanding tidak membawa impak yang besar kali ini.

“Kalau saya lihat, yang bakal menang hanya antara BN dan PH sahaja.

“Parti-parti lain pula saya lihat kesannya minimum,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut beliau berkata, kelebihan BN adalah mempunyai keahlian yang besar iaitu lebih tiga juta orang.

Manakala PH pula menggunakan isu semasa untuk menarik pengundi meskipun keahlian tidak seramai seteru utamanya.

“Pertama, kita lihat walau apa pun yang orang cakap tentang BN, parti ini mempunyai keahlian yang ramai iaitu lebih tiga juta, itu sebab itu mereka banyak bergerak dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) ke PDM lain untuk berkempen.

“Mereka juga mampu menggerakkan jentera ke kawasan lebih besar serta tidak perlu fokus kepada kehadiran orang ramai.

“Kalau PH pula,mereka guna ceramah-ceramah besar mereka untuk menarik pengundi mendengar isu yang mereka ulas,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kesan PN, Pejuang Muda dan Warisan pada PRU15, beliau berkata ia hanya bergantung bagaimana parti-parti tersebut menggunakan isu-isu semasa dalam berkempen menjelang seminggu pilihan raya.

Melihat calon bebas yang ramai kali ini, Awang Azman tidak menafikan ia perkembangan positif dalam sistem demokrasi negara.

Namun dalam masa yang sama katanya, perkara berkenaan juga akan memecahkan undi.

“Kalau ada tiga orang yang menang cukup bagus,”tambah beliau.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru mengumumkan seramai 945 calon bakal bertanding di 222 kawasan Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya kali ini.

Jumlah ini melebihi 258 calon berbanding 687 pada PRU-14.

PH meletakkan calon teramai iaitu sebanyak 206, diikuti BN (178); Perikatan Nasional (149) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menampilkan 116 calon.

Selain itu Parti Warisan Sabah (Warisan) bakal meletakkan 52 calon manakala seramai 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) akal bertanding kali ini.

Turut bertanding 22 calon PN yang menggunakan logo Pas di Kelantan dan Terengganu serta 13 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula meletakkan enam calon iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sabah.

Pada masa sama, seramai 108 calon bebas bakal bertanding kali ini berbanding hanya 24 pada PRU-14, dengan bilangan teramai adalah di Selangor dengan 24 calon, diikuti 20 calon bebas yang layak bertanding di Sabah.- MalaysiaGazette

 

 

 

[contact-form][contact-field label=”Name” type=”name” required=”true” /][contact-field label=”Email” type=”email” required=”true” /][contact-field label=”Website” type=”url” /][contact-field label=”Message” type=”textarea” /][/contact-form]

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast