Ibrahim memantau bekalan makanan yang sampai di PPS untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

KUALA LUMPUR – Banjir yang mula melanda Kelantan sejak tiga hari lalu menyebabkan 978 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar pekan Rantau Panjang.

Mangsa terdiri daripada 306 keluarga yang kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh (203 keluarga), SK Kubang Kual (40), Madrasah Putat Tujuh (35), SK Sri Kiambang (18) dan Masjid Mukim Padang Lichin (10).

Semua keluarga itu, dari pekan Rantau Panjang dan Kampung Gual Periok  dipindahkan ke tempat selamat berikutan rumah mereka yang terletak berada berhampiran Sungai Golok dinaiki air akibat limpahan dari sungai berkenaan.

Manakala paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sehingga jam 9 pagi ini telah melebihi paras bahaya iaitu 9.89 meter (paras bahaya 9 meter).

Ibrahim meninjau kawasan dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok di Kampung Tersang, Rantau Panjang.

Sementara itu, calon Parti Putra Parlimen Rantau Panjang, Datuk Dr. Ibrahim Ali turut meninjau keadaan serta mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir.

“Sedih lihat penderitaan rakyat. Sudah 156 keluarga melibatkan lebih 500 mangsa telah dipindahkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini, hari ini.

Menurut Ibrahim, banjir sentiasa berlaku di pekan Rantau Panjang kerana kerajaan Thailand membina benteng di sepanjang Sungai Golok, sedangkan tiada benteng di bahagian Malaysia.

Beratus rumah penduduk dinaiki air Sungai Golok dalam kejadian banjir semalam.

Katanya, setiap kali hujan, air Sungai Golok akan melimpah masuk ke kawasan ini dan menenggelamkan sebahagian besar rumah penduduk.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast