KUALA LUMPUR – Kempen pilihan raya dan “perang bendera” yang kurang hangat menyebabkan jualan barangan logam dan perkakasan tidak menampakkan peningkatan pada pilihan raya kali ini.
China Press melaporkan, peniaga pada asalnya menjangkakan jualan paip PVC atau batang kayu untuk tujuan memacak bendera parti akan meningkat, tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi.
Presiden Persatuan Pemborong Barangan Logam Malaysia, Liu Qing He berkata, bisnes adalah sepi pada musim pilihan raya kali ini.
“Perniagaan adalah lebih baik semasa pilihan raya lalu, mungkin kali ini parti politik kekurangan dana untuk berkempen,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, parti -parti politik biasanya memilih paip PVC yang lebih murah berbanding batang kayu untuk memacak bendera dalam kempen.
Katanya, pilihan raya kali ini bagaimanapun tidak menghangatkan jualan, malahan perniagaan boleh dikatakan sepi.
“Perniagaan sepi mungkin kerana rentak pemulihan sektor pembinaan yang perlahan, tidak banyak projek baharu dan kekurangan pekerja, menyebabkan permintaan untuk pelbagai perkakasan berkurangan,” katanya.