Tengku Adnan melancarkan Tekad Ku Nan untuk Putrajaya demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

PUTRAJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor melancarkan Tekad Ku Nan dalam usaha mendapatkan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Katanya, Tekad Ku Nan merupakan salah satu komponen penting mendasari kemajuan dan pembangunan Putrajaya yang mengandungi pelan jangka panjang dalam memberikan keselesaan serta memenuhi kehendak penduduk.

“Tekad ini ditawarkan demi memacu masa depan penduduk dan Putrajaya yang lebih cerah,” katanya di sini.

Terdapat enam teras utama dalam Tekad Ku Nan iaitu Putrajaya Sihat, Putrajaya Selamat, e-Putrajaya, Putrajaya Bijak, Putrajaya Prihatin dan Putrajaya Rumahku.

Menurut beliau, Putrajaya Sihat mengandungi agenda untuk pembinaan, pembaikan dan penambahbaikan gelanggang sukan sedia ada seperti futsal, badminton dan bola jaring termasuk menaiktaraf taraf Gelanggang Futsal Mokhtar Dahari.

Tekad itu, katanya, adalah demi memenuhi kehendak penduduk Putrajaya yang semakin bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti sukan.

“Teras kedua, Putrajaya Selamat. Ia untuk memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terus terbela dengan mengambil beberapa langkah seperti menggantikan lif dan tangki air yang berusia lebih 15 tahun.

“Membina Ku Nan Rider Stop Centre supaya penunggang motosikal yang penat dalam perjalanan boleh berehat dengan selesa, selain menyediakan fasiliti mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) di RUMAWIP baharu,” katanya.

Kata Tengku Adnan lagi, bagi teras ketiga iaitu e-Putrajaya, melibatkan sukan atas talian atau e-sports yang semakin mendapat perhatian golongan muda.

“Menerusi tekad ini, saya akan menganjurkan Ku Nan e-sports League bagi anak muda menonjolkan bakat seterusnya merintis penyertaan mereka dalam arena ini dan e-Putrajaya juga menyasarkan untuk membangun Youth Centre sebagai pusat pembangunan belia.

“Teras keempat ialah Putrajaya Bijak. Ini bagi merai dan memastikan kelompok berkebolehan dalam bidang pendidikan terus diangkat dengan Tekad Ku Nan akan menawarkan biasiswa penuh kepada seorang pelajar terbaik SPM setiap tahun.

“Selain itu, Program Kad Pendidikan Ku Nan akan disediakan bagi pendidikan percuma di tadika dan program Jom ke Universiti bersama Ku Nan akan turut dianjurkan,” katanya.

Seterusnya, kata beliau, teras kelima iaitu Putrajaya Prihatin yang menitikberatkan keperluan rakyat.

Antaranya, kemudahan kesihatan percuma di Klinik Ku Nan, kelas tuisyen percuma untuk pelajar SPM B40, kelas Iqra percuma untuk murid, mewujudkan semula kad Nadi Putrapay bagi pelajar dan turut memperjuangkan peningkatan gaji penjawat awam di peringkat persekutuan.

Kata beliau, teras terakhir ialah Putrajaya Rumahku, dengan perancangan membina rumah kos rendah berharga RM80,000 seunit serta mengembalikan semula sistem sewa beli rumah.

“Bagi golongan anak muda yang hendak menjana pendapatan tambahan, Tekad Ku Nan akan menambah kiosk mampu sewa supaya urusan perniagaan dapat berjalan dengan lebih lancar,” katanya.

Menurutnya, semua teras yang ditawarkan dalam Tekad Ku Nan untuk Putrajaya jelas menunjukkan beliau mengambil kira keperluan semasa penduduk selari dengan perubahan masa.

Katanya, tekad itu adalah pelan dan masa depan Putrajaya yang holistik yang akan memberikan kesan positif kepada penduduk Putrajaya bukan sahaja dalam masa terdekat, tetapi terhadap generasi akan datang. – MalaysiaGazette