Gambar hiasan

PILIHAN raya di Malaysia dilaksanakan untuk memilih calon di peringkat negeri dan Parlimen. Ia diadakan berdasarkan sistem demokrasi yang merupakan mekanisme peralihan kuasa dari rakyat kepada sebuah kerajaan yang akan mentadbir sesebuah negara. Justeru itu tanpa sokongan rakyat maka sesebuah kerajaan itu tidak dapat dibentuk dengan jayanya. Namun kepelbagaian pemikiran yang melatarbelakangi rakyat Malaysia menyebabkan ada yang memahami bahawa tidak perlu semua rakyat Malaysia keluar mengundi kerana calon yang dicadangkan bukan semestinya memenuhi kehendak dan kriteria mereka.

Ada yang menyatakan keluar mengundi ataupun tidak sama sahaja, tidak menghasilkan sebarang perubahan. Ini kerana parti-parti yang bertanding dalam pru-15 ini, semuanya pernah memerintah Malaysia dan belum terbukti dapat menyelamatkan negara dari pelbagai kemelut dan cabaran semasa. Lebih parah lagi ada yang menganggap sistem demokrasi berasal dari Barat ini tidak diharuskan dalam Islam justeru keluar mengundi pilihan raya-15 tidak wajib.

Permuafakatan Harmoni

Malaysia berlatar belakangkan masyarakat majmuk. Semua kaum memperakui sistem domokrasi dalam pemilihan kepemimpin negara. Dalam Islam permuafakatan tersebut selari dengan konsep meraikan maslahah dan uruf setempat. Tradisi pemilihan dan penggantian pemimpin bagi setiap lima tahun di Malaysia termasuk dalam permuafakatan rakyat secara harmoni. Ia dilakukan berdasarkan kesaksamaan hak bagi setiap kaum dan agama khususnya melibatkan penentuan corak kepimpinan dalam mengurus kemaslahatan rakyat dan negara.

Tradisi ini tidak bertentangan dengan Islam bahkan menjadi tuntutan Islam termasuk dalam fungsi khalifah dalam Islam iaitu “mendirikan agama dan menguruskan dunia dengan panduan agama”. Justeru itu walaupun demokrasi tiada dalam Islam namun dalam konteks Malaysia ia merupakan wasilah dalam menegakkan pemerintahan negara. Negara tidak boleh tertegak secara individu bahkan hak dan maslahah individu juga tidak tercapai tanpa penyertaan dalam sistem demokrasi yang melibatkan pilihan raya.

Dalam hal ini semua rakyat Malaysia telah memahami dan bersepakat bahawa pilihan raya adalah satu-satunya mekanisme yang ada dalam memilih kerajaan yang dikehendaki. Pemilihan pemerintah tidak boleh berlaku melalui peperangan, pemberontakan bersenjata dan sebagainya sebagaimana yang masih berlaku di sesetengah negara lain. Oleh itu sudah tentunya ruang yang ada ini jika dimanfaatkan sebaiknya akan menghasilkan maslahah yang berpanjangan terhadap rakyat berbanding sistem pemerintahan lain.

Hakikatnya permuafakatan harmoni ini bertepatan dengan kaedah maqasid shari’ah iaitu al-wasa’il laha ahkam al-maqasid (semua wasilah berdasarkan hukum yang hendak dicapai). Sesuatu wasilah yang membawa kepada perkara yang diperintahkan maka ia turut sama diperintahkan. Ia juga menepati kaedah usul iaitu mala yatimm al-wajib illa bihi fahuwa wajib (sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara maka perkara tersebut juga menjadi wajib).

Di Malaysia hanya ada satu sahaja mekanisme untuk memilih pemimpin iaitu melalui pilihan raya. Maka penyertaan dalam pilihan raya melalui pembuangan undi menjadi wajib ketika ini. Dalam hal ini walaupun demokrasi tiada dalam Islam namun wajib disertai kerana tiada wasilah lain untuk memilih kepimpinan negara. Melalui kepimpinan negara maka tertegaklah pelbagai kewajiban lain yang telah diaturkan kepada pemerintah demi kemaslahatan rakyat.

Analogi perkahwinan dengan pengundian

Tabiat asal manusia ialah hidup secara berpasangan. Naluri keperluan lelaki kepada perempuan dan sebaliknya tidak dapat dihapuskan. Oleh itu Syarak mengharuskan perkahwinan bahkan mewajibkannnya dalam situasi tertentu. Begitu juga seseorang indivindu tidak boleh hidup berseorangan dalam kehidupan kerana saling memerlukan di antara satu sama lain. Konsep tolong menolong ini lebih bermakna jika ia melibatkan semua masyarakat dalam sesebuah negara. Justeru negara perlukan pemimpin yang berkalayakan dalam mengurus kemaslahatan individu dan masyarakat. Jika pasangan hidup memerlukan suami sebagai pemimpin maka negara lagilah memerlukan pemimpin.

Pembentukan rumah tangga melalui perkahwinan manakala pembentukan negara dilakukan melalui pengundian dalam pru. Dalam hal ini seseorang yang menyendiri dari perkahwinan, walaupun dilihat tidak melakukan apa-apa kesalahan namun tindakan tersebut dianggap menyumbang kepada kepupusan generasi akan datang dalam meneruskan penghayatan dan perjuangan Islam. Demikian juga mereka yang menyendiri dari terlibat dengan pru-15 menyebabkan pemimpin yang terpilih adalah dari kalangan yang tidak berkelayakan yang akhirnya merosakan negara dan masa depan umat Islam. Dalam hal ini individu yang tidak mahu terlibat dengan pilihan raya sebenarnya mendedahkan dirinya kepada penyumbang kewujudan pemimpin yang menggelapkan masa depan negara.

Keizinan menghasilkan hukum

Sebenarnya berdasarkan situasi Malaysia ketika ini yang berhadapan dengan pelbagai isu dan krisis kepimpinan maka mengasingkan diri dari pru-15 termasuk dalam kategori hadith Nabi SAW yang bermaksud : “Barang siapa yang tidak mengambil berat terhadap urusan umat Islam maka ia bukan dari mereka (tidak sempurna sebagai seorang muslim)” . Ini kerana tujuan mengundi dalam PRU ini adalah untuk memilih pemimpin yang layak memimpin negara demi memelihara kebajikan dan aslahatan umat. Walaupun hadith ini lemah (daif) namun maknanya sahih dan selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-ma’idah ayat 2 yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan dosa dan pencerobohan”.

Memang benar jika mengundi sekalipun pemimpin yang dipilih belum tentu memenuhi kriteria pemimpin idaman namun sekurang-kurangnya dapat menyekat pemimpin yang tidak berkelayakan dan merosakan negara terpilih menerajui negara. Kaedah yang bijak laksana dalam berhadapan dengan kegersangan pemimpin yang layak dan beramanah ialah memilih pemimpin yang kurang kerosakannya terhadap umat Islam dan negara berdasarkan kaedah fiqh iaitu yukhtar ahwan al-syarrayn (memilih keburukan yang lebih ringan). Oleh itu jika sikap mengasingkan diri menyebabkan negara dipimpin oleh pemimpin yang tidak amanah dan lemah maka ia termasuk meredai kemudaratan menimpa negara dan ummah sekali gus termasuk dalam kaedah fiqh al-rida ba al-syai’ ridan ma yatawallad min (reda terhadap sesuatu maka dianggap reda terhadap akibat yang terhasil darinya).

Secara zahir tindakan tidak membuang undi dalam pilihan raya umum adalah tidak bersalah. Namun jika dilihat kepada kemudaratan negara dan ummah maka haram hukumnya justeru semua umat Islam yang tidak ada sebarang keuzuran syarie wajib keluar mengundi. Walau bagaimanapun keluar mengundi terikat dengan kewajipan memilih pemimpin yang mampu memelihara masa depan agama, bangsa dan negara bukan memilih pemimpin yang bakal menjerumus negara dan rakyat ke lembah kerosakan dan kehinaan. Selamat mengundi Pilihan Raya Umum ke-15.

Dr Ridzwan Ahmad
Pensyarah Kanan
Jabatan Fiqh Dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast