SUNGAI SIPUT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa partinya sedang ‘begitu jauh’ mendahului parti-parti lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) kali ini.
Malah dakwa Presiden PKR itu, parti-parti utama seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tertinggal jauh di belakang.
Bagaimanapun Anwar tidak menyatakan sumber dari mana data atau hasil kajian itu diambil.
“Ada analisis yang menyatakan kita PH sudah berada di tempat tertinggi, ini kerana PH akan menjaga dan menyelamatkan Malaysia,” katanya pada Ceramah Mega di Sungai Siput hari ini.
Pada program sembang santai di Pasir Salak sebelum ini, Anwar mendakwa, kajian daerah setempat PH menunjukkan parti itu sudah berada di hadapan dan pihak lawan tidak boleh menafikan hasil dapatan kajian itu.
“Kita yakin ini mesti berdasarkan data dan kajian daerah setempat dan kalau ikut data dan kajian, saya tak fikir mana-mana orang boleh menafikan PH sekarang sedang jauh mendahului ketika ini,”ujarnya. -MalaysiaGazette