KUALA KANGSAR – Pengundi sudah semakin bijak dan tidak akan termakan dengan manifesto yang mungkin tidak mampu dilaksanakan parti politik.
Jika tersilap langkah, manifesto yang dibentang tidak tertunai pengundi akan menghukum mereka pada pilihan raya akan datang.
Tinjauan MalaysiaGazette terhadap golongan warga emas di Kuala Kangsar mendapati mereka mahukan wakil rakyat yang bertanggungjawab bagi menjaga kebajikan rakyat.
Mereka yang ditemui mengakui Barisan Nasional (BN) adalah parti politik sentiasa mengotai janji sejak puluhan tahun memerintah.
Razman Saadom, 62, berkata, BN telah membuktikan janji dikotakan dan terbukti semua kemudahan yang disediakan serta pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini.
“Saya cerita tentang pembangunan Kuala Kangsar. Pembangunan di sini sentiasa dilakukan, ada jambatan Manong yang menjadi penghubung masyarakat setempat dan itu adalah projek BN.
Kini ada perancangan untuk membuat lebuh raya dari Gopeng ke Kuala Kangsar, tidak perlu guna lebuh raya di Menora itu yang sentiasa sesak,” katanya.
Menurut beliau terdapat peningkat taraf hidup dengan penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan yang menyaksikan taman perumahan bercambah.
“Apa yang masyarakat nampak ialah manifesto dibuat oleh BN ini tidak ada yang negatif kerana kebanyakannya dilaksanakan tidak kira cepat atau lambat,” jelasnya.
Rabayah Pandak Razali, 49, berharap ‘insiden 22 bulan’ tidak berulang apabila beliau menyifatkan rakyat yang tertipu dengan janji manis hidup dalam sengsara mengharungi tempoh tersebut.
“Saya tidak mahu lagi. Ramai tidak suka cara pemerintahan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah beliau, keadaan politik juga tidak stabil berikutan janji yang tidak dilaksanakan.
Hayiyah Md Nor, 71, memberitahu, setelah mengharung keadaan yang tidak stabil sebelum ini, beliau berharap calon yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang menjadi wakil lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat dan mengurangkan berpolitik.
“Undi rahsia, tapi saya undi satu sahaja. Kerana itu sahaja yang buat kerja. Harap lepas ini lebih banyak tolong,” katanya.
Badariah Salleh, 56, yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini mahu wakil rakyat yang boleh mengukuhkan ekonomi dan menjaga kebajikan golongan B40.
“Harap majukan negara, kita undi supaya kamu (ahli politik) dapat lakukan sesuatu yang baik untuk negara.
“Jangan hanya janji ketika PRU sahaja. Kami yang beri undi susah. Kami bukan kerja, harap suami dan pencen sahaja,” ujarnya.
Jelasnya, adalah lebih baik ahli politik menjada kebajikan pengundi daripada berbalah sedangkan kehidupan rakyat pada hakikat harmoni.
Abu Hassan Hasibut, 68, berharap parti yang bertanggungjawab berharap iseperti BN boleh terus memerintah negara.
Mesti BN dan kami semua ok, terjaga. Hanya BN sahajalah senang,” katanya. – MalaysiaGazette