Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat semas sidang media di IPK Johor, hari ini.

JOHOR BAHRU-Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 14 individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan penawaran kerja atas talian Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, 10 lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan tiga wanita tempatan berusia 17 hingga 31 tahun ditahan dalam dua serbuan di dua unit rumah teres di Taman Mount Austin, dekat sini.

Katanya, sindiket menyasarkan mangsa dari luar negara seperti Singapura dengan menawarkan jawatan sebagai ejen pelancongan.

Tambah beliau, iklan tawaran pekerjaan tersebut dibuat melalui media sosial.

Modus operandi sindiket itu adalah meminta ejen-ejen berkenaan menempah bilik hotel secara dalam talian.

Mereka kemudiannya akan menerima komisen sehingga enam dolar Singapura bagi sebuah bilik dan dibayar ke dalam satu aplikasi.

Mangsa menyedari telah ditipu apabila tempahan yang diterima telah banyak tetapi mereka masih perlu menambah nilai dalam aplikasi berkenaan bagi membolehkan tempahan seterusnya dibuat.

“Mangsa menyedari ditipu apabila wang berkenaan tidak sampai ke tangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam serbuan itu polis turut merampas 20 unit komputer riba, 32 telefon bimbit dan satu unit papan putih.

“Sindiket yang aktif sejak dua bulan lalu itu menggunakan talian telefon yang didaftarkan di luar negara.

Anggota sindiket ini berperanan sebagai pegawai sumber manusia dengan tawaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000.

” Polis Johor berkerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut mengesan saki baki anggota sindiket penipuan ini,” katanya.

Hasil siasatan mendapati kumpulan itu menggunakan telefon yang didaftarkan di luar negara.

Untuk itu polis Johor akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Semua suspek akan ditahan reman selama dua hari bermula  Rabu ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Kesekesaan dan Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette