KUALA LUMPUR – Tinggal berbaki lima hari lagi berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, calon bebas Tian Chua memilih cara tersendiri untuk merancakkan lagi proses meraih sokongan warga Batu kali ini.
Bekas Naib Presiden PKR yang juga pernah menyandang kerusi Parlimen Batu antara 2008 hingga 2018 hari ini melancarkan lapan arca ‘Kerusi Rakyat’ gergasi di dalam kawasan Parlimen Batu pagi hari ini.
Katanya, ia merupakan salah satu strategi kreatif yang dikemukakan beliau kepada pengundi daripada segi aspek mempromosikan seni dan budaya kemasyarakatan kepada pengundi di Batu sempena PRU15.
“Idea penyediaan kerusi ‘rakyat’ gergasi ini adalah cetusan ilham dari veteran aktivis politik masyarakat Hishamuddin Rais.
“Seni juga ada peranan politik yang mana karya ini diharapkan dapat menambah kemeriahan kempen secara berhemah dan sihat semasa pilihan raya Sabtu ini nanti.
“Ia juga mencatatkan momentum sejarah politik yang istimewa dengan membawa konsep tanggungjawab ahli politik adalah mewakili suara rakyat secara serius yang mana rakyat adalah penentu dan pemilik kedudukan politik negara,” katanya selepas melancarkan kerusi ‘rakyat’ gergasi di hadapan Sky Awani Residence, Jalan Sentul Pasar di sini pagi ini.
Tambah beliau, kerusi ‘rakyat’ gergasi berkenaan berukuran 12 kaki tinggi (3.1 meter) dan 20 kaki lebar (6.1 meter) telah didirikan di lapan lokasi terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai selain Sky Awani Residence, iaitu Sentul Pasar, Jalan Ipoh Batu 3, Jalan Ipoh Batu 5, Lotus’s Selayang, Petronas Jalan Kuching, Taman Seri Murni dan akhirnya di Bandar Baru Sentul.
Malah kata Tian Chua, idea yang disampaikan dalam karya seni ini konsisten dengan iltizam dan cogan kata kempen beliau iaitu ‘Kerusi Rakyat’ (People’s Seat).
“Secara simboliknya ‘kerusi’ itu sendiri membawa makna lambang yang saya tandingi dan memberi peringatan bahawa kerusi yang kami merebut untuk PRU kali ini adalah milik rakyat.
“Saya ingin menyampaikan perjuangan saya kepada masyarakat di Parlimen Batu adalah utuh seperti mana utuhnya asas kerusi ini, manakala kesenangan dan keprihatinan pada permasalahan harian rakyat adalah menjadi keutamaan saya seperti terpancar pada tempat duduk dan tempat sandar kerusi ‘rakyat’ gergasi ini yang menjadi simbolik usaha saya bagi memastikan penyelesaian untuk permasalahan rakyat di sini tercapai dan semua berpuas hati,” katanya.
Menurutnya pihaknya telah memulakan pembinaan kerusi gergasi terbabit sejak hari ketiga selepas penamaan calon.
“Saya juga seorang pencinta kombinasi seni kepelbagaian dalam kerusi ini kerana tak nak menggunakan kaedah konvensional untuk bercerita, tetapi naratif pilihan raya ini perlu ada maknanya melampauai sempadan Parlimen Batu.
“Ini bukan propaganda untuk menangkan Tian Chua tapi saya ingin melalui kempen ini membawa falsafah lebih jauh dari PRU kali ini untuk undi siapa atau parti mana yang menang dan dengan penyerapan karya seni ini kita juga membawa maksud lebih mendalam dan masyarakat juga sedar bahawa kerusi yang direbut oleh parti dan ahli politik sebenarnya milik rakyat.
“Ahli-ahli yang menang juga dan bila berbahas dalam Parlimen nanti mendapatkan kuasa harus ingat tempat mereka duduk itu dimiliki rakyat dan harap mesej ini tersebar luas melampaui sempadan Batu dan hari mengundi,” tegasnya.
Ditanya mengenai pakej yang hendak ditawarkan kepada pengundi Batu dengan tempoh kempen berbaki lima hari lagi, Tian Chua berkata, dia tidak perlu bertungkus lumus menaburkan banyak janji manis sekadar mulut.
“Sebaliknya, saya lebih konsisten dengan rekod perkhidmatan yang pernah diberikan selama dua penggal ketika mewakili Parlimen Batu sehingga 2018 kepada masyarakat di sini dan mereka tahu tentang saya,” katanya lagi.
Tian Chua juga mengakui walaupun sudah sembilan hari berlalu, ramai dalam kalangan pengundi ada kala keliru kalau undi Tia Chua mungkin tidak akan menangkan Pakatan Harapan.
“Saya mengulangi sekali lagi bahawa saya berdiri tegas menolak kerajaan kleptokrasi yang bakal dibawa oleh BN dan saya akan bersama dengan PH melawan mereka yang menyeleweng dalam Parlimen, itu sahaja sama ada sokong Prabakaran (PH) atau saya pun, pendirian saya adalah tetap sama,” katanya.
Pada PRU15 kali ini, Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru termasuk calon Pakan Harapan P. Prabakaran yang mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua,
Barisan Nasional pula mempertaruhkan calon dari MIC, Datuk A. Kohilan Pillay. -MalaysiaGazette