Khairul Dzaimee Daud (dua dari kanan) menunjukkan kemudahan autogate yang dibenarkan penggunaannya kepada Pemegang Pas Jangka Panjang bagi warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

KUALA LUMPUR  – Kira-kira sebanyak 1,860,963 warga asing yang memegang Pas Jangka Panjang mendapat manfaat menggunakan kemudahan autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  berbanding sebelum ini yang hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia.

Mereka terdiri daripada 1,366,387 pemegang Pas Lawatan Kerja Senegara (PLKS), 169,263 Pas Pasangan Kepada Warganegara, 68,012 Pas Pelajar, 14,046 Pas Residen serta 52,932 Pas Malaysia My Second Home(MM2H).

Ia juga termasuk 12,335 Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK), 9,345 Tanggungan Pas Lawatan Sosial (PLS), 91,198 Pas Penggajian dan 77,445 lain-lain pas di bawah seliaan Bahagian Khidmat Ekspatriat.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang mempunyai Pas Jangka Panjang diberi pilihan untuk menggunakan kemudahan autogate setiap kali keluar atau masuk ke negara ini.

“Kemudahan autogate kepada pemegang Pas Jangka Panjang telah dilaksanakan secara rintis di KLIA mulai 16 September lalu.

“Dalam tempoh tersebut sehingga 15 November, seramai 1,810 pemegang Pas Jangka Panjang telah menggunakan kemudahan autogate untuk melihat ketersediaan sistem tersebut.

“Perlaksanaan perluasan kemudahan ini merupakan salah satu komitmen berterusan JIM untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kemasukan warga asing ke Malaysia dan membantu mengurangkan kesesakan di KLIA,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, jumlah ketibaan warga asing di semua pintu masuk negara adalah seramai 10,400,045 orang.

Lima negara tertinggi adalah dari Singapura, Indonesia, Thailand, India dan Republik Rakyat China yang mana 60% daripada jumlah ini merupakan warganegara Singapura yang berulang masuk setiap hari ke Malaysia melalui Johor.

Daripada jumlah ini, seramai 50,769 telah ditolak kemasukan ke dalam negara atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, tambahnya.

Beliau berkata, JIM kini sedang mengkaji untuk memberi kemudahan kepada warganegara Singapura menggunakan autogate rakyat Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar, Johor untuk mempercepatkan lagi urusan keluar masuk mereka  di Malaysia.

Jangkaan bagi rakyat Singapura untuk menggunakan autogate lebih kurang sebulan  akan datang sekitar Disember kerana beberapa perubahan kecil perlu dibuat padai sistem untuk membolehkan cip pada passport boleh dibaca oleh sistem JIM, jelas beliau.

Bagaimanapun, menurut Khairul Dzaimee, kemudahan ini tertakluk kepada warga asing yang memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu pasport  mengandungi cip dan mematuhi standard penetapan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pas Jangka Panjang yang masih sah tempoh laku.

Selain itu, Pas Jangka Panjang yang dibenarkan termasuklah Pas Residen, Pas Penggajian, Pas Pelajar, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Visa Premium, MM2H, Pas Lawatan Sosial (Jangka Panjang).

“Namun demikian, pemegang Pas Jangka Panjang yang tidak memenuhi kriteria-kriteria di atas perlu menggunakan perkhidmatan kaunter manual seperti biasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette