Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Barisan Nasional (BN) perlu memenangi sekurang-kurangnya 80 hingga 90 kerusi daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandinginya untuk menjadi parti dominan jika kerajaan campuran terpaksa dibentuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN perlu menjadi parti dominan untuk mengetuai kerajaan campuran itu.

“Kalau BN hanya ada 40 kerusi sedangkan orang lain 60 kerusi, tidak mungkin kita boleh mengetuai kerajaan campuran tersebut, sedangkan kita mahu menjadi teraju.

“Jadi kalau kita jemput mereka sertai kita, tentulah perdana menteri datang daripada kita (BN). Kalau kita dapat 30, orang lain 80, maka orang lainlah akan jadi PM,” katanya dalam program Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan oleh saluran televisyen tempatan, malam tadi.

Mengenai dakwaan BN mungkin akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) jika tidak memenangi cukup kerusi, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak mungkin berlaku.

Ini kerana Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah membuat keputusan menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR.

“Kalau nak reverse (menarik balik) keputusan tersebut, bawalah balik ke MT dan bawa balik ke mesyuarat agung luar biasa untuk putuskan sebaliknya. Selagi tidak ada keputusan seperti itu, maka keputusan ‘No Anwar, No DAP’ itu akan terus kekal.

“Saya percaya tidak ada sesiapa pun dalam kalangan UMNO, kepimpinan tertinggi mana sekalipun yang boleh mengubah keputusan MT dan boleh ubah keputusan PAU dengan cara bersendirian. Ia mesti diputuskan oleh parti,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu, penyandang Parlimen Bera itu sekali lagi menzahirkan keyakinan bahawa BN akan dapat memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas melihat “mood” pengundi yang sudah banyak berubah berbanding PRU14.

Namun, Ismail Sabri menyuarakan kebimbangan isu peribadi akan lebih banyak dibangkitkan dalam minggu kedua kempen PRU15, yang semakin sengit menjelang hari pengundian.

Beliau berkata BN akan lebih memberi tumpuan kepada ‘produk’ dan perkara yang boleh ditawarkan kepada rakyat berbanding menjadikan serangan peribadi sebagai bahan kempen.

“Dari segi manifesto, kita jauh lebih baik daripada manifesto parti lain sebab manifesto kita sebahagian besar adalah daripada Bajet 2023 yang telah dibentangkan,” kata beliau sambil menambah kata bahawa ia bukan janji kosong kerana mempunyai dana mencukupi untuk pelaksanaannya.

Ismail Sabri turut berharap keadaan harmoni serta lancar semasa berkempen tanpa sebarang isu besar melibatkan provokasi atau keganasan melampau ketika ini berterusan sehingga hari mengundi pada Sabtu.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast